Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan pemilik restoran kerana pasang bendera Kedah terbalik

Polis menahan pemilik restoran makanan laut dan seorang pekerjanya warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes memasang bendera Kedah secara terbalik di sebuah premis di Pekan Pandak Mayah, Kuah di Langkawi, Kedah petang tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya sebelum itu menerima maklumat awam selepas gambar bendera Kedah yang dipasang secara terbalik di restoran tersebut tular di media sosial.

“Maklumat mengenai kejadian tersebut diterima kira-kira 6 petang, susulan itu sepasukan anggota polis telah pergi ke restoran berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati pemilik restoran itu, seorang lelaki berusia 58 tahun telah menyuruh seorang pekerja lelaki warga Bangladesh untuk memasang bendera Kedah namun tanpa disedari bendera tersebut telah dipasang secara terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata susulan itu, polis menahan pemilik restoran dan pekerjanya berusia 32 tahun untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat menurut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS