Wakil calon bebas PRK Slim lapor polis terhadap menteri
PRK SLIM | Wakil calon bebas bagi pilihan raya kecil (PRK) Slim, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia, M Saravanan selepas mendakwa menteri berkenaan menyalahgunakan agensi kerajaan ketika berkempen.
Pengarah kempen bagi calon bebas berkenaan, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin, 38, berkata dia membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim petang tadi.
Dia turut mendakwa Saravanan melakukan 'sogokan' dengan berjanji memberi peluang pekerjaan kepada pengundi pada Karnival Kerjaya dan Kemahiran anjuran kementerian itu di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River.
Amirul berkata perbuatan itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 10(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Saya buat laporan ini bagi pihak calon. Hari ini lebih kurang jam 5 petang saya melihat satu posting Facebook milik Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Di dalam program tersebut, yang berhormat menteri telah pun menerima seramai lapan orang yang diterima bekerja dan seramai empat Orang Kurang Upaya (OKU) menerima skim bantuan perniagaan OKU, yang mana secara kebetulannya program-program ini dilaksanakan dalam kempen pilihan raya.
"Kami rasa kesal dalam keadaan semua orang merayakan pesta demokrasi, kami dihidangkan dengan satu perlawanan tidak rata.
"Kami menuntut pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita.
Amirul yang juga seorang peguam menyifatkan perbuatan tersebut sebagai amalan tidak sihat.
"Sepatutnya, kempen ini kita membentangkan apa yang kita tawarkan kepada pengundi. Bukan menggunakan institusi agensi kerajaan demi kita memenangkan calon-calon tertentu," katanya.
Untuk rekod Amir Khusyairi disokong oleh parti Pejuang yang diasaskan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
SPR menetapkan Selasa depan sebagai hari pengundian awal, manakala 22,815 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab pada 29 Ogos.

