Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siti Nurhaliza nikah Datuk K 21 Ogos
Diterbitkan:  Jul 17, 2006 1:25 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza Taruddin, 27,menamatkan spekulasi mengenai hubungannya dengan Datuk Khalid Mohamed Jiwa, 47, yang lebih dikenali sebagai Datuk K hari ini dengan mengumumkan akan berkahwin dengan tokoh korporat itu pada 21 Ogos ini.

Majlis akad nikah akan dilangsungkan dii Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta di ibunegara. Majlis persandingan akan diadakan pada 28 Ogos di Dewan Pameran KL Convention Centre dan turut dibuka kepada peminatnya.

Satu lagi majlis resepsi perkahwinannya akan diadakan di kampung Siti Nurhaliza di Kuala Lipis, Pahang pada Ahad 3 Sept untuk kaum keluarga, pihak media serta peminatnya

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan di sidang akhbar khas har ini, majlis akad nikah itu akan diadakan serentak dengan majlis pertunangan. Sidang akhbar khas diadakan secara bersama oleh kedua-dua bakal pengantin baru itu.

Sidang akhbar itu disiarkan secara langsung oleh stesen TV3 melalui program Wanita Hari ini yang bermula pukul 12 tengah hari.

Menurut laporan Bernama, turut hadir pada majlis itu yang diadakan di The Zon On The Park, Jalan Ampang ialah ibubapa Siti Nurhaliza dan keluarga terdekat Khalid.

Siti Nurhaliza dan Khalid yang berpakaian sedondon berwarna kuning memasuki Restoran Terracota dengan diiringi oleh keluarga masing-masing pada pukul 12.40 tengah hari untuk persidangan akhbar, dan majlis didahulukan dengan bacaan doa.

Majlis dimulakan dengan ucapan bapa Siti Nuraliza, Taruddin Ismail yang berkata beliau serta keluarga merestui perkahwinan itu, dan gembira kerana pengumuman hari ini sekaligus mengakhiri desas-desus atau gossip mengenai pasangan itu.

Saudara perempuan Khalid yang mewakili pihak lelaki turut menyatakan restu keluarga terhadap perkahwinan itu.

Kisah cinta Siti Nurhaliza dan Datuk K dikatakan bermula sejak konsert solo pertama penyanyi itu di Royal Albert Hall London pada bulan April, tahun lalu.

Bagaimanapun pasangan itu cukup bijak menangkis segala laporan media mengenai hubungan intim mereka.

Ini adalah kali pertama seorang selebriti membuat pengumuman mengenai perkahwinannya menerusi siaran televisyen secara langsung.

Siti Nurhaliza mulai terkenal selepas menjadi Juara Bintang Hiburan Minggu INI (HMI) anjuran RTM pada 1995, dan beliau seterusnya menjadi artis rakaman Suria Records Sdn Bhd pada tahun yang sama.

Setahun kemudian lagunya dipilih sebagai Lagu Paling Popular (Song of the Year) Juara Lagu anjuran TV3, dan pada tahun 1997 dipilih sebagai "Artis Solo Wanita Terbaik" Anugerah Industri Muzik.

Kariernya dalam bidang nyanyian terus bersinar apabila beliau memenangi pelbagai anugerah setiap tahun, yang terakhir pada Mac lalu sebagai "Artis Wanita Paling Popular" Anugerah Planet Muzik 2006.

Anak kelima daripada lapan beradik itu merupakan artis Malaysia pertama dan Asia ketiga yang membuat persembahan solo di Royal Albert Hall, London. Artis Asia yang pernah membuat persembahan solo di dewan tersebut sebelum ini ialah Lata Mangeshkar dan pemain sitar terkenal Ravo Shanker.

Siti Nurhaliza yang sehingga Mac tahun lepas menghasilkan 14 album, bukan sahaja terkenal dalam bidang muzik malah dalam bidang pengiklanan, di mana beliau pernah memenangi anugerah "Personality of the Year" sempena "Bestbrands Award 2004/29005" bagi peranannya meningkatkan populariti jenama yang diwakili.

Beliau juga aktif dalam bidang sukarelawan dan pernah menjadi duta Persatuan Bulan Sabit Merah.

ADS