Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa menolak cadangan mengubahsuai Pusat Latihan Tun Abdul Razak (TARRC) di London menjadi sebuah kompleks sukan.

" Perdana Menteri perlu bertegas menunjukkan beliau tidak seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau mesti menolak projek mewah dan penggunaan wang rakyat secara tidak telus dan tidak bertanggungjawab," tegas Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang hari ini.

Menurut Lim lagi, projek RM490 juta ini adalah ujian besar kepada pentadbiran Abdullah yang selama ini melaung-laungkan perbelanjaan telus dan berhemah.

Lim berharap dalam projek mega bernilai RM490 juta ini tidak termasuk dalam senarai projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang akan dimumkan oleh Abdullah esok.

Perdana Menteri sekembalinya dari bercuti di Australia pada Sabtu lalu mengumumkan akan mengumumkan butir-butir projek RMK9 esok.

Cadangan mengubahsuai pusat latihan itu menjadi sebuah komples sukan itu menjadi kontroversi kerana dianggap sebagai projek mewah yang membazirkan wang rakyat.

Sebilangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang telah membantah projek itu dan meminta kerajaan mengkaji semula kos dan keberkesanannya dalam menghasilkan atlet yanag bertaraf dunia.

Ketua Pembangkang itu juga membidas semua pihak yang terbabit dalam projek ini kerana membuat kenyataan yang mengelirukan mengenai projek tersebut.

Kenyataan bercanggah

Lim berkata, kenyataan bercanggah yang dibuat oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan itu menunjukkan hanya beberapa orang sahaja yang tahu tentang projek ini.

"Mereka yang menjawab bagi pihak kerajaan samaada di dalam atau luar Parlimen sebenarnya tidak tahu apa yang mereka cakapkan," tegas Lim lagi dalam kenyataan medianya.

Beliau juga mempertikaikan tindakan kerajaan menghantar sekumpulan atlet berlatih di Brickendonbury, London itu sedangkan cadangan menukar TARRC menjadi sebuah kompleks sukan belum lagi diluluskan oleh Parlimen.

Lim juga bertanya sudahkah pelan pengubahsuaian TARRC kepada sebuah kompleks sukan dihantar kepada pihak berkuasa di London kerana bangunan pusat latihan itu telah diisytiharkan sebagai sebahagian daripada warisan British.

" Saya mahu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz menjelaskan bagaimana seramai 14 pemain skuasy dan 10 pemanah negara boleh dihantar ke sana sedangkan cadangan ini belum lagi diluluskan," soal beliau.

Menteri Beliau dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said minggu lalu berkata kumpulan atlet berkenaan telahpun di hantar berlatih di TARRC.

Dr. Ramlan minggu lalu juga menyatakan tapak TARRC adalah bekas kawasan penbempatan orang-orang Rom 2,000 tahun lalu dan merupakan kawasan yang dilindungi sebagai warisan sejarah.

Peraturan pihak berkuasa tempatan di London menetapkan bangunan yang dibina di sekitar kawasan bekrkenaan tidak boleh 'lebih tinggi dari pokok' dan 'mesti serupa atau harmoni dengan bangunan sedia ada dan struktur sekitarnya'.

Lim bertanya, bagaimana Kementerian Belia dan Sukan mahu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tersebut?