Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerana PRK Slim, Orang Asli dapat bekalan elektrik lepas 60 tahun

PRK SLIM | Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Teras barangkali kumpulan pertama yang mendapat manfaat daripada PRK ini, dengan bekalan elektrik akhirnya samapi ke rumah mereka pada 22 Ogos.

Pemasangan itu dibuat tujuh hari sebelum hari mengundi pada 29 Ogos ini.

Menurut Tok Batin di situ, Kuloh Bah Rinteh, kampung itu, yang diduduki kira-kira 226 orang, tiada bekalan elektrik sejak awal 1960-an.

Ditanya bagaimana penduduk kampung menggunakan elektrik - untuk cas telefon misalnya - Kuloh berkata mereka bergantung kepada penjana di depan rumahnya, yang dibukanya bermula pukul tujuh petang sehingga tengah malam.

Lelaki berusia 62 tahun itu memberitahu Malaysiakini bahawa mendiang bapanya, juga tok batin, telah berusaha agar kampungnya mendapat bekalan elektrik tetapi tidak berjaya. Usaha itu kemudian diteruskan Kuloh.

Dua tahun lalu, Kuloh mendapat harapan apabila TNB memasang tiang elektrik di kampung itu.

Malangnya ia tidak disambungkan dengan sistem wayar. Projek itu terabai dan penduduk kekal bergelap.

Tahu bahawa PRK Slim dapat menarik perhatian terhadap perkara itu, aktivis Orang Asli Ramesh Arumugam Chettiar membangkitkan masalah yang dihadapi penduduk kampung ke perhatian media selepas pengumuman PRK.

Ramesh

Kini isu yang berlanjutan semalam bertahun itu telah diselesaikan kurang 10 hari.

Menurut Kuloh, sambutan kemerdekaan akan menjadi lebih bermakna dengan kampung mula disinari cahaya lampu. Malam-malam menggunakan lilin dan lampu minyak tanah telah berlalu.

"Saya memang bersyukur sebab sudah lama saya mohon. SAya ucapkan tahniah kepada Ramesh yang membantu kami.

"Saya tengok mereka (penduduk kampung seronok...Sudah 62 tahun bergelap.

"Kanak-kanak seronok sebab boleh belajar dengan lampu, tidak lagi bergantung kepada lilin.Hati seronok tengok mereka.

"Sekarang saya rasa (penduduk kampung) tidak terpinggir," katanya ketika ditemui di rumahnya.

'Peluang selesai masalah'

Kata Kuloh lagi, PRK kali ini membuka peluang untuk menyelesaikan beberapa masalah dan menyuarakan harapannya agar calon yang menang akan menjaga Orang Asli di DUN itu.

"Jangan bagi kehidupan kami susah. Harap tanah (untuk Orang Asli) diwartakan agar penduduk tak perlu pindah," katanya.

Dia berkata TNB kini merancang untuk memasang lampu jalan di sepanjang 500 meter jalan di kampung menuju jalan utama, yang menghubungkan mereka dengan Pekan Slim.

Ramesh pula memaklumkan dia kini membantu masyarakat di situ mendapat bekalan air yang stabil.

"Ada masalah dengan tapisan air. Selepas ini, saya harap (agensi berkaitan) akan dapat menambah baik sistem tapisan," katanya yang menambah penduduk kampung biasanya menggunakan air sungai.

"Ada kala kulit kami gatal sebab guna air dari sungai," tambah Kuloh pula.

Ramesh menyuarakan penghargaan kepada media kerana membangkitkan isu yang telah bertahun dihadapai penduduk kampung itu.

"Saya sudah hantar surat tapi 'tak jalan'. Kerana media, isu ini diselesaikan.

"Orang Asli telah dipinggirkan," katanya lagi.

PRK Slim menjadi pertembungan tiga penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz dengan dua alon bebas - peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, yang disokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PH, serta bekas guru S Santharasekaran.

Penduduk kampung gembira

Seorang penduduk Kampung Sungai Teras, Johan jelas gembira setelah akhirnya mendapat bekalan elektrik.

Sebelum ini, lelaki berusia 30 tahun itu akan bangun di tengah malam untuk mengipas dirinya dengan empat anaknya.

Johan

Johan memberitahu Malaysiakini dia telah membuang 'kipas' itu.

"Saya tinggal dengan isteri, empat anak dan seorang adik ipar. Selama ini jika panas di tengah malam, saya akan bangun dan guna pinggan plastik sebagai kipas. Kalau hujan kami bernasib baik.

"Dengan bekalan elektrik kini, senang untuk memasak di waktu malam sebab ada lampu. Anak-anak juga gembira.

"Selepas ini jika ada wang, saya akan beli televisyen," katanya lagi.

Silhat, 66, pula memberitahu Malaysiakini yang dia masih takut untuk menekan suis kerana bimbang terkena renjatan elektrik.

Silhat

"Memang seronok sudah ada elektrik, tapi takut nak pasang, takut kena shock. Jadi saya harap anak untuk pasang kipas...Mungkin nanti akan berani (untuk buat sendiri).

"Kalau penjana saya berani sebab sudah biasa guna, bertahun-tahun," katanya lagi.

Asim

Asim, 46, pula berkata dia bersyukur apabila anak-anaknya kini boleh belajar dengan baik di waktu malam.

"Dulu tak ada lampu, anak nak buat kerja sekolah susah, pakai pelita tak berapa terang.

"Sekarang saya rasa gembira, senang sebab ada lampu untuk mereka buat kerja sekolah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS