Paling Popular
Terkini

ULASAN l Keadaan politik negara yang keliru mungkin menjadi lebih keliru hasil tindakan yang diambil oleh beberapa buah parti. Ternampak ramai yang sudah hilang haluan dan sanggup membuat apa sahaja untuk dapat sokongan.

Demikian Bersatu yang ditubuh untuk menjatuhkan Najib beralih menjadi parti untuk hidupkan Najib Razak dan BN.

Kemudian entah macam mana pemimpin Bersatu, muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri parti Perikatan Nasional (PN) yang tidak wujud.

Harapan supaya PN menjadi parti gabungan tiga buah parti iaitu Bersatu, PAS dan Umno tidak jadi kenyataan. Umno mendakwa bahawa ahlinya hanya dibenar sokong Bersatu supaya Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) untuk jatuhkan kerajaan PH. Dan pemimpin Bersatu pun telan bulat-bulat rancangan jahat ini.

Sekarang Bersatu dan PN bergantung kepada Umno. Jika orang Umno tidak sokong jatuhlah PN. Sebaliknya jika Umno tidak sokong mereka juga akan jatuh. Sebab itu Umno terpaksa sokong.

Tetapi masih ada lima orang Umno yang mungkin didapati bersalah (seorang telah didapati bersalah tetapi menunggu proses rayuan) dan tidak boleh kekal sebagai wakil rakyat. Jika mereka kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat, Bersatu dan PN akan jatuh.

Untuk elak dari ini berlaku, perdana menteri perlu cari ganti. Maka Bersatu pun gugur kedudukan sebagai parti Pribumi dan membuka keahlian kepada semua kaum. Kekalkah nama PPBM. Ini kali keempat Bersatu mungkir janji.

Sekarang Bersatu membuat keputusan untuk gabung dengan Muafakat Nasional (MN). Tetapi MN adalah gabungan parti Melayu Islam. Bersatu parti berbilang kaum dan agama. Apa jadi kepada MN. Masih Melayu Islamkah?

Umno pula dikatakan pecah tiga. Ada bahagian yang tidak setuju Bersatu masuk Muafakat, ada yang setuju. Demikian juga dengan PAS. Ada yang bersetuju, ada yang tidak.

Di antara parti-parti yang sokong kerajaan, ada yang percaya akan menang pilihan raya ada yang tidak suka diadakan pilihan raya.

Perdana menteri takut hilang jawatan jika kehilangan enam kerusi. Sedang mencari pengganti. Dari mana. Mungkin dari PKR. Tetapi kosnya tinggi.

Datang Pejuang. Bersatu hilang akar umbi. Banyak pemimpin tapi kurang yang hendak dipimpin. Jadi parti kosong. Akar umbi pindah ke Pejuang.

Dalam pilihan raya umum akan datang, Bersatu tidak akan dapat sokongan Umno dan PAS, tidak juga dari PH.

Bersatu mungkin dibubar dan mereka akan sertai Umno. Tamat riwayat parti yang dicuri.

Pening kepala Muhyiddin. Tidak ada haluan untuk dituju. Cari sakit. Dapat sakit.


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah anggota parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri Malaysia. Pandangan ini asalnya diterbitkan di blog Mahathir dengan judul "Kekeliruan".

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS