Nazri: Kerajaan hanya dedah dokumen relevan sahaja
Kerajaan hanya akan mengklasifikasikan semula dokumen-dokumen rahsia yang dirasakannya relevan bagi menjawab soalan-soalan berkaitan 'jambatan bengkok' yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.
Kerajaan hanya akan mengklasifikasikan semula dokumen-dokumen rahsia yang dirasakannya relevan bagi menjawab soalan-soalan berkaitan 'jambatan bengkok' yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.
"Kami hanya akan mengklasifikasikan semula dokumen yang perlu sahaja. Kita masih memerlukan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana masih banyak perkara dalam rundingan antara Malaysia dan Singapura yang dianggap sulit," kata beliau.
Nazri menjelaskan perkara itu apabila ditanya mengapa kerajaan hanya mendedahkan petikan rekod mesyuarat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau menambah, OSA masih diperlukan untuk melindungi rahsia rasmi walaupun ada dokumen telah diklasifikasikan semula.
"Adalah menjadi hak kerajaan samaada mahu mengklasifikasikan semula dokumen rahsia atau tidak,"ujarnya.
Jumaat lalu kerajaan mengeluarkan kenyataan lima mukasurat yang mengandungi petikan-petikan rekod mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Singapura. Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), tujuan mendedahkan dokumen itu adalah untuk menjelaskan kedudukan sebenar isu 'jambatan bengkok' itu.
Bagaimanapun hari ini bekas Setiausaha Politik Dr. Mahathir Matthias Chang mengkritik penjelasan JPM itu dengan menyifatkannya sebagai satu 'penipuan umum' kerana hanya mendedahkan petikan-petikan tertentu dari rekod mesyuarat berkenaan dan bukannya semua minit mensyuarat tersebut.
Malah menurut Chang, dokumen yang didedahkan itu bukan perkara baru kerana telah didedahkan oleh kerajaan Singapura pada April lalu.
Mengenai penyebaran risalah menyokong tokoh korporat Tan Sri Tajuddin Ramli di Dewan Rakyat baru-baru ini pula, Nazri berkata satu siasatan dalaman telah dijalankan bagi mencari dalang perbuatan itu.
Bagaimanapun katanya, siasatan terhadap rakaman litar tertutup (CCTV) dalam Dewan Rakyat tidak menunjukkan apa-apa bukti.
"Kes ini telah ditutup. Bagaimana nak bertindak? Awak nak saya bertindak terhadap hantu?" ujar Nazri. Berita asal

