SOP gelembung perjalanan siap minggu depan
Garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai gelembung perjalanan yang dicadang dilaksanakan dengan beberapa negara terpilih dijangka siap minggu depan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata garis panduan dan SOP terbabit akan dikemukakan untuk penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diarahkan kerajaan agar mengemukakan cadangan berserta SOP negara kita.
"Kami juga berbincang dengan duta terbabit, mendengar pandangan mereka. Mereka juga ingin tahu perancangan kita. Kami berbincang dengan Jepun, Singapura. Ini akan menjadi inisiatif berterusan negara kita," katanya pada sidang media selepas melancarkan Promo TV Kempen 'Cuti-cuti Malaysia' dan Pengumuman Pemenang Pertandingan 'Video Muzik Cuti-cuti di Rumah' di Kuala Lumpur, hari ini.
Nancy berkata, MOTAC juga bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar dalam menyiapkan SOP itu.
Terdahulu, Nancy dalam ucapannya berkata, berdasarkan Siri Jelajah Promosi Pelancongan Domestik, beliau mendapati pelancongan tempatan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.
"Saya gembira melihat sokongan rakyat terhadap pelancongan domestik yang kebanyakan hotel menerima tempahan penuh dan ramai memanfaatkan cuti hujung minggu dengan membawa keluarga berjalan-jalan," katanya.
Beliau berkata, satu tinjauan membabitkan 13,797 individu di negara ini mengenai persepsi rakyat terhadap pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan pelancongan domestik masih menjadi pilihan apabila 50.9 peratus responden percaya melancong dalam negara lebih selamat selepas PKP.
"Selain itu, 71.3 peratus daripada responden memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat berbanding negara lain," katanya.
Beliau berkata, pelancaran promo TV hari ini tepat pada masanya dengan tema dalam video itu memberikan identiti unik kepada destinasi pelancongan yang ada di negara ini.
Nancy berkata, promosi berterusan perlu dilakukan bagi mencetus minat orang ramai untuk keluar melancong, selain menyuntik keinginan merasai sendiri pengalaman yang dilihat dalam video promosi itu.
Lima video promosi dihasilkan mengetengahkan beberapa tema dan produk pelancongan termasuk pulau dan pantai, aktiviti menyelam laut dalam dan snokel, alam semula jadi dan pengembaraan, makanan tempatan dan tematik iaitu satu genre yang merangkumi semua aktiviti pelancongan.
Selain media arus perdana seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran TV1, TV2 dan TV OKEY, promosi itu turut dimuat naik ke laman web serta platfom digital.
Sementara itu, tiga pemenang pertandingan video muzik diumumkan, iaitu Ko Chuan Li (alat muzik); Mohd Yatim Naming (nyanyian) dan Clarissa Premini Robert Jeyakumar (sketsa).
- Bernama

