Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: PH tak bantu Pejuang secukupnya, Bersatu pula terpinggir
Diterbitkan:  Aug 28, 2020 3:32 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

PRK SLIM | Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR dilihat tidak berkempen dengan kekuatan penuh untuk membantu calon bebas yang disokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Menurut kajian Ilham Centre, ketiadaan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk membantu calon pembangkang itu dilihat begitu ketara sepanjang tempoh.berkempen.

"Pada sisi pembangkang pula, PH tidak berkempen dengan penuh kekuatan mereka. Paling ketara ialah PKR, kelibat Presiden PKR Anwar Ibrahim langsung tidak kelihatan membantu kempen di sini walaupun DUN Slim berada bawah Parlimen Tanjung Malim yang diwakili oleh Ahli Parlimen PKR sendiri iaitu Chan Lih Kang.

"Hanya Setiausaha Agung PKR (Saifuddin Nasution Ismail) dan beberapa pimpinan pertengahan turun membantu kempen calon Pejuang," kata badan penyelidik itu.

PRK Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon BN, Mohd Zaidi Aziz, Amir Khusyairi dan sorang lagi calon bebas Santharasekaran Subramaniam.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib yang mengalami serangan pada 15 Julai lalu.

Pengundian bagi PRK Slim ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon PH dari Bersatu, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK Slim adalah PRK ke-12 diadakan selepas PRU ke-14 dan yang kedua buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada PH pada Mac lalu.

Menurut Ilham Centre, keberadaan Amanah dan DAP dilihat lebih menonjol dan agresif membantu calon Pejuang.

"Namun begitu, persoalan berikutnya muncul - adakah pengundi dalam kalangan penyokong PKR akan mengundi calon parti yang berseteru dengan presiden mereka?

"Sepanjang tempoh kajian dalam fasa kempen, responden yang ditemui mengakui bahawa jentera BN lebih tersusun dan menyeluruh," jelasnya.

Bersatu terpinggir

Pada masa sama, kajian Ilham Centre mendapati Bersatu - bekas parti komponen PH - agak terpinggir sepanjang kempen ini.

Menurutnya, hal ini dilihat dengan ketara apabila jentera Bersatu bergerak berasingan dan kelihatan terpinggir daripada gerak kerja kempen Muafakat Nasional (MN).

"Menerusi temubual mendalam, responden yang menyokong MN tidak melihat Bersatu sebagai parti yang melengkapkan gabungan dua kuasa parti Melayu berkenaan (Umno dan PAS).

"Responden juga melihat pengumuman kemasukan Azmin Ali dan penyokongnya ke dalam Bersatu tidak memberi lonjakan sokongan kepada BN," kata badan penyelidik itu.

Bagaimanapun, kata Ilham Centre lagi, keadaan Bersatu diselamatkan oleh populariti presidennya Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri di kalangan responden Melayu.

Lihat Komen
ADS