Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua projek rundingan terus diluluskan Guan Eng, kata Zuraida
Diterbitkan:  Aug 28, 2020 5:50 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini tampil menjawab isu dua projek rundingan terus yang didakwa dianugerahkan kementeriannya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Zuraida, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua projek tersebut dimulakan dan diluluskan sendiri oleh menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Dua projek berkenaan ialah projek Sisa Pepejal Taman Beringin bernilai RM170,294,400.00 dan Sistem Perisian Perakaunan Century bernilai RM501,206.37.

"Seperti yang dijanjikan, siasatan telah dijalankan dan kini saya umumkan penemuannya.

"Saya dengan ini mengesahkan bahawa rundingan terus tersebut telah dijalankan oleh mantan Menteri Kewangan sendiri, YB Lim Guan Eng.

"Ini bertentangan sama sekali dengan permainan fakta yang cuba diputarbelitkan oleh pihak pembangkang Pakatan Harapan yang menuduh bahawa rundingan terus projek sisa pepejal Taman Beringin dimulakan oleh kementerian saya," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zuraida, penasihat syarikat Bumi Segar Indah, Tamrin Tun Ghaffar, yang merupakan penyokong tegar PH telah mewakili syarikat tersebut bertemu Lim pada 28 Nov 2018.

"Pada pertemuan inilah Lim Guan Eng, bukan sahaja membincangkan tentang rundingan semula projek ini malah bersetuju untuk mengurangkan kos tipping fee 10 peratus lebih rendah daripada kos asal, kononnya sebagai penjimatan untuk kerajaan.

"YB Lim Guan Eng kemudian menasihatkan Bumi Segar Indah untuk menghubungi KPKT bagi membentangkan kertas cadangan formal. 

"Seterusnya, projek tersebut diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah YB Lim Guan Eng dengan surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha KPKT," katanya.

Begitu juga projek perisian Century yang turut melibatkan lima Kementerian lain, turut diluluskan Kementerian Kewangan, kata Zuraida.

"Saya berharap, pada masa hadapan pemimpin Pakatan Harapan dapat membuat sedikit penyelidikan tentang fakta sebelum mengelirukan orang awam," katanya.

Semalam, Lim mendakwa empat pemimpin utama Bersatu, termasuk Zuraida terlibat dalam kontrak kerajaan yang diberikan tanpa tender terbuka ketika menjadi sebahagian daripada pentadbiran PH.

Pada sidang media itu, Lim berkata keempat-empat menteri itu sepatutnya benar-benar tahu perihal kontrak rundingan terus itu kerana ia dibangkitkan dalam kabinet.

Selain itu, Zuraida juga dilihat ada mengunjungi stesen pelupusan sampah di Taman Beringin pada Disember 2019 dan perkara itu turut dikongsi di laman Facebooknya.

 


Lihat Komen
ADS