Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langgar SOP: PM sokong naik kompaun 'dua atau tiga kali ganda'
Diterbitkan:  Aug 28, 2020 8:38 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Dalam perutusan khas hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyuarakan sokongan terhadap cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) agar kadar kompaun bagi kesalahan berkaitan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dinaikkan.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata ia perlu diperhalusi dan dan pindaan undang-undang dibuat terlebih dahulu.

"Tiada siapa dikecualikan daripada peraturan ini dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal.

"Sehubungan itu, saya juga menyokong cadangan KKM untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung malam ini.

Pada masa ini, individu yang melanggar SOP Covid-19 - yang tertakluk di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) - dikenakan hukuman kompaun maksimum RM1,000.

Sebelum ini, kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar perintah kuarantin wajib mengundang kritikan, terutama apabila ada beberapa individu yang dibawa ke mahkamah atas pelanggaran SOP dan dikenakan hukuman yang lebih berat.

Pada 25 Ogos lalu, KKM mencadangkan kadar kompaun bagi kesalahan di bawah Akta 342 dinaikkan sehingga RM10,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka yang dipinda itu telah dikemukakan kepada parlimen baru-baru ini dan akan mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

Cuba turunkan lagi harga pelitup muka

Muhyiddin berkata negara masih berdepan cabaran getir menangani penularan Covid-19 dengan risiko penularan virus 'super spreader', justeru peraturan kuarantin ketat di tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, dia berkata kerajaan juga akan cuba menurunkan lagi harga pelitup muka.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang berunding dengan pihak pengilang dan pembekal. Insya-Allah jika rundingan berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan akan meringankan sedikit beban saudara-saudari," katanya lagi.

Awal bulan ini, kerajaan menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapis daripada RM1.50 kepada RM1.

Lihat Komen
ADS