Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Krisis politik baru-baru ini - dari kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga ke perubahan pemerintahan Perikatan Nasional (PN) - telah menyoroti bagaimana ahli politik menekankan kepentingan mereka berbanding perjuangan untuk rakyat.

Rakyat sudah bosan dengan drama "katak" politik mereka yang secara umumnya mengabaikan mandat rakyat.

Mereka sangat merindukan kemunculan ahli politik baru yang berprinsip dan beretika di arena politik.

Bagi memimpin negara ke arah yang betul dan juga untuk membebaskan Malaysia daripada lumpur politik wang, kleptokrasi, pemungkiran janji manifesto dan pelantikan politik di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Oleh itu, budaya politik baru yang berlandaskan integriti, etika dan perkhidmatan untuk kebaikan awam sangat diperlukan dan diharapkan pada masa ini.

Dilema yang dihadapi oleh politik semasa ialah kebanyakan ahli politik mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan awam.

Apabila tampil di tempat awam, mereka selalu mengatakan tujuan mereka memasuki politik adalah demi rakyat, agama dan bangsa tetapi hakikatnya adalah demi aku, aku dan aku.

Ketika ditanya mengapa mereka ingin berpihak dan menyokong bekas lawan politik mereka, jawapan yang sering kedengaran adalah:

"Ini untuk keperluan pembangunan kawasan undi mereka."

Jawapan ini betul kerana pengagihan kuasa antara persekutuan dengan negeri-negeri di Malaysia yang tidak setara mendorong ahli dewan undangan negeri cenderung kepada kerajaan persekutuan yang berkuasa demi memperoleh lebih banyak dana untuk kawasan undi mereka.

Dan ini merupakan satu isu berlainan yang memerlukan lebih banyak usaha kerajaan untuk mengatasinya.

Namun, rakyat pada umumnya menganggap ini sebagai satu alasan untuk mengaburi kerakusan ahli politik dan kehendak peribadi terhadap kuasa.

Realiti politik di Malaysia berkait rapat dengan politik parti di mana parti politik ialah segala-galanya.

Mengetepikan perdebatan mengenai kebaikan dan keburukan politik parti, hakikatnya pengundi memilih mengikut parti, bukan calon itu sendiri.

Oleh itu, mandat rakyat atau kepentingan umum berkait rapat dengan parti politik. Dilihat dari perspektif ini, melompat parti dianggap bertentangan dengan kehendak pengundi.

Konsep mandat

Tetapi konsep mandat rakyat itu juga dapat dilihat sebagai rakyat tidak memiliki mandat sama sekali dari segi pilihan.

Rakyat bagaikan "dipaksa" untuk memilih calon yang dipilih oleh parti kerana partilah yang memilih calon bukan rakyat.

Lantaran itu, mandat rakyat hanya terbatas pada mengundi calon-calon yang dipilih parti-parti politik.

Pemilihan calon sebenarnya ialah mandat parti.

Rakyat hanya memiliki mandat mengundi calon, sedangkan parti memiliki mandat memilih calon.

Terdapat satu lagi mandat individu calon tersebut – sama ada dia menerima pencalonan parti.

Andaiannya, mereka biasanya akan menerima jika pendirian, prinsip dan ideologi parti itu bersesuaian dengan pegangan mereka.

Ini bermakna pada bila-bila masa setelah memenangi pilihan raya, jika calon-calon tersebut membuat keputusan atau menganggap adanya percanggahan antara pendirian, prinsip dan ideologi parti dengan pegangan mereka sendiri, mereka berhak untuk melompat parti.

Dan hak melompat ini diiktiraf dalam Perlembagaan melalui hak kebebasan untuk berpersatuan dan berhimpun yang termaktub dalam Artikel 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi ada juga berpendapat meskipun lompat parti dibenarkan oleh perlembagaan, namun apa sahaja dalam perlembagaan yang memudaratkan rakyat dapat digugurkan dengan memindanya.

Tetapi pindaan perlembagaan memerlukan undian majoriti dua pertiga dan dalam iklim politik masa kini agak sukar dan mustahil untuk mendapatkan majoriti tersebut.

Mantan menteri Umno, Nazri Aziz menyarankan sistem parti yang memenangi kawasan pilihan raya tertentu akan tetap memegang kawasan pilihan raya itu.

Nazri Aziz 

Bermakna wakil rakyat yang melompat parti akan kehilangan keahliannya di parlimen.

Walaupun ia memerlukan majoriti dua pertiga namun ia berkemungkinan besar mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen, katanya.

Satu lagi cara lain membendung budaya lompat parti adalah melalui pelaksanaan pilihan raya kecil semula di mana keputusan ahli parlimen untuk meninggalkan partinya disahkan oleh para pengundi.

Budaya politik semasa yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan awam bukan sahaja tidak bermoral dan tidak betul.

Selain itu, ia tidak sihat untuk perkembangan politik, kemajuan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan juga aspek-aspek lain di negara ini.

Ia juga secara serentak memberi kesan kepada ekonomi dari segi ketidaktentuan dan kos mengadakan pilihan raya segera di peringkat persekutuan. Ini mungkin dapat menjelaskan kenapa aliran keluar modal bersih berlaku setiap hari.

Kesemua ini menimbulkan defisit keyakinan terhadap politik dan kerajaan.

Sekiranya ini berterusan, kedudukan kerajaan sekarang akan sering kali dipersoalkan.

Oleh kerana tiada satu parti di Malaysia yang dapat membentuk kerajaan dengan sendirinya, budaya politik baru ini seharusnya menjadi asas dan prinsip politik gabungan di Malaysia.

Tambahan pula, budaya politik baru ini selaras dengan kepentingan gabungan parti yang memerintah serta parti-parti pembangkang, kerana masing-masing terkesan dengan budaya lompat parti, lantas mempunyai iltizam untuk menyemai dan menggalakkan budaya politik baru ini.


JAMARI MOHTAR dan LIM JI YI merupakan penyelidik di EMIR Research sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS