Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan: Cukuplah Muhyiddin 'ke sana ke sini' cari sokongan
Diterbitkan:  Aug 29, 2020 4:29 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Pemimpin Umno Johor menasihatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya berhenti "ke sana ke sini" bagi meraih sokongan ahli-ahli Parlimen sebelum menjelang perbentangan belanjawan Oktober depan.

Timbalan Pengerusi BN Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata, Muhyiddin kini sedang membuat rundingan supaya parti yang dipimpinnya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) terus kekal berkuasa sehingga tamat tempoh mandat.

Jelas Nur Jazlan, presiden Bersatu itu perlu menerima hakikat yang Bersatu dan PN dalam keadaan amat rapuh.

"Beliau (Muhyiddin) sibuk nak ke sana ke sini dan mengemukakan bermacam cadangan supaya ahli-ahli parlimen termasuk dari blok pembangkang memberi sokongan kepada kerajaan yang dipimpin ketika pembentangan bajet (belanjawan).

"Dia juga sedaya upaya nak bertahan sampai habis penggalnya. Saya nak tanya, sampai bila Muhyiddin nak ke sana ke sini dan berapa lama dia dapat bertahan dalam sebuah kerajaan yang tak stabil hari ini?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin hari ini dijadualkan berada di Sabah bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Bersatu negeri berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) selain bertemu pemimpin Bersatu Sabah, Muhyiddin juga dijangka penjawat awam dan pemimpin masyarakat.

Ia adalah lawatan pertama beliau ke Sabah selepas memegang jawatan sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua Umno Pulai berkata Muhyiddin mempunyai pilihan dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin bagi mendapat mandat baru lebih kukuh.

"Muhyiddin patut membuka mindanya dan meneliti cadangan daripada Presiden Umno serta PAS yang meminta PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

"Dengan kekuatan Muafakat Nasional (MN) dan PN ketika ini saya percaya kita boleh menang dengan majoriti lebih kukuh," katanya.

Nur Jazlan berkata, kerajaan yang stabil akan dapat merungkai banyak kemelut politik.

Lihat Komen
ADS