Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Undi Cina, India meningkat pada BN petanda positif'

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, peningkatan undi kaum Cina dan India kepada calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Slim merupakan petanda positif kepada gabungan itu.

"Undi Cina dan India nampaknya semakin meningkat ke arah BN, dan ini satu petanda yang sangat positif, dan saya ucap terima kasih di atas perubahan sikap mereka," katanya kepada pemberita di Tanjung Malim.

Najib berkata, pengundi juga meluat dengan kempen Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad, yang menurutnya dilihat "terlalu peribadi" dan "nak membalas dendam."

"Mereka (pengundi) dah dengar cerita ni, mereka dah tolak, mereka nak dengar siapa yang boleh bela untung nasib kebajikan mereka dari diulang balik, seolah-olah diratib terutama sekali nama saya, balik-balik itu," kata Najib.

Pada PRK kali ini, Pejuang berkempen untuk calon bebas Amir Khushairi yang tewas kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz dengan majoriti sebanyak 10,945 undi.

Mohd Zaidi memperoleh 13,060 undi, manakala seorang lagi calon bebas S Santharasekaran hilang wang deposit apabila hanya memperolehi 276 undi .

Petunjuk baik bagi PRN Sabah

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama dalam Muafakat Nasional, BN dan Friends of BN berjalan dengan baik.

"Alhamdulillah ini satu kemenangan yang amat memberansangkan dengan majoriti rasmi 10,945 tentunya ini satu terjemahan kerjasama semua pihak, terutama rakan dalam Muafakat Nasional, BN, dan friends of BN.

"Pengundi dan rakyat amat rindukan Umno, BN, MN untuk berada di persada kerajaan.

"Dan kita harap ini adalah satu indikasi bahawa pilihan raya negeri Sabah, jika kesepekatan diteruskan, Insya Allah di Sabah kemenangan berpihak kepada calon-calon BN dan MN," katanya.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan juga melontarkan pendapat yang sama dengan mengatakan bahawa "PRK Slim memberikan lonjakan semangat kepada jentera BN memenangi pilihan raya negeri Sabah."

Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad pula berkata, majoriti yang diperolehi oleh Zaidi adalah di luar jangkaannya.

"Kita capai majoriti di luar jangkaan, dengan angka 10,000, itu angka yang sangat besar, sebab kita ramal dapat 8,000 majoriti.

"Kalau PRU dulu, kita kalah di 6 PDM, hari ni semua PDM kita menang dengan cemerlang," jelasnya.

Saarani juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi muda - yang mengundi Pakatan Harapan pada masa lalu - tetapi kini kembali menyokong BN.

Sementara itu Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob memberitahu media bahawa kemenangan BN jelas menunjukkan pengundi menolak Pejuang.

"Ya saya sendiri tak menjangkakan begini besar, terutamanya apabila parti yang walaupun bebas tapi kita tahu siapa di belakangnya.

"Dan ini jelas menunjukkan penolakan kepada penglibatan parti Pejuang ini bagi pengundi-pengundi di PRK Slim. Saya kira bukan saja di Slim, tapi di seluruh negara," katanya.

Lihat Komen
ADS