Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rais Yatim atasi Yusmadi untuk ketuai Dewan Negara

Akhirnya Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Dr Rais Yatim, dipilih untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara.

Nama bekas menteri Umno dan timbalan presiden Semangat 46 itu dicalonkan ke jawatan tersebut oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Dalam undian yang diadakan sebentar tadi, Rais mendapat 45 undi manakala Senator Yusmadi Yusoff - yang dicalonkan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 19 undi.

Hanya seorang anggota Dewan Negara tidak hadir hari ini.

Terdahulu salah seorang senator cuba menyekat pencalonan Rais.

Nga Hock Cheh yang mewakili DAP berkata pencalonan Rais adalah tidak sah kerana ia dicalonkan oleh Muhyiddin yang bukan anggota Dewan Negara.

Kata Nga, Muhyiddin tidak berhak untuk mengambil bahagian dalam pemilihan berkenaan atau memberikan nama untuk pencalonan.

"Dengan segala hormat saya hujahkan, saya minta pencalonan oleh perdana menteri harus ditolak.

"Pencalonan Rais juga tidak teratur, justeru saya memohon pencalonan Senator Yusmadi sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dibuat tanpa pertandingan dan dia diisytihar menang tanpa bertanding," katanya.

Isi tempat Vigneswaran

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Takiyuddin Hassan menegaskan Muhyiddin merupakan ketua majlis perundangan, justeru dia berhak menamakan calonnya sendiri.

Selain Rais dan Yusmadi, ada dua nama lain turut disebut dicalonkan iaitu senator dari Sabah, Theodore Douglas Lind, serta wakil Umno, Mohamad Ali Mohamad.

Bagaimanapun nama Mohamad tidak dicalonkan pada hari ini, manakala pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Marzuki Yahya memberitahu Lind menarik diri daripada persaingan berkenaan.

Yusmadi Yusoff

Asalnya dua nama saja yang dicadangkan untuk diundi bagi mengisi tempat yang dikosongkan penyandang terdahulu SA Vigneswaran.

Tempoh perkhidmatan presiden MIC itu sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara tamat pada Jun lalu.

Pemilihan Yang di-Pertua Dewan Negara kali ini menarik perhatian yang lebih apabila Umno sendiri - di sebalik kedudukan mereka sebagai rakan kerjasama dengan Bersatu - berhasrat meletakkan calon sendiri.

Sebelum ini sumber memberitahu Malaysiakini selain PH, Umno sendiri kurang selesa dengan Rais dan tokoh veteran berkenaan dianggap sebagai musuh bersama (common enemy) kepada kedua-dua blok.

Rais kemudian mengangkat sumpah di depan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Abdul Halim Abdul Samad.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS