Rampasan ketum di Perlis meningkat 60 peratus
Jumlah rampasan daun ketum di Perlis bagi tahun ini - setakat Julai lalu - meningkat 60 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Perlis Surina Saad.
Beliau berkata sebanyak 98,250.10 kilogram daun ketum dengan nilai dianggarkan RM3.93 juta dirampas bagi tempoh 1 Jan sehingga 31 Julai.
“Peningkatan jumlah rampasan itu adalah hasil usaha berterusan pihak polis melakukan operasi bagi membendung penyeludupan daun ketum di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas program pelupusan barang kes dadah dan ketum siri 2/2020 di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar hari ini.
Sebanyak 30 tan daun ketum dan barang kes melibatkan kes dadah seberat 211.38 gram dianggarkan bernilai RM1.76 juta dilupuskan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
Surina berkata polis akan terus memperhebat operasi bagi membendung penyeludupan ketum dan penyalahgunaan dadah.
Katanya seramai 503 suspek ditangkap dan didakwa di bawah Akta Racun 1952 dan 1,533 suspek ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
- Bernama

