Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri agama enggan komen isu 'Injil dipesongkan'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad enggan memberikan pandangannya ketika ditanya mengenai kenyataan pemimpin ulama PAS yang didakwa menghina Kristian baru-baru ini.

Ditemui pemberita di Pengkalan Chepa hari ini, Zulkifli berkata dia kesuntukan masa dan perlu ke tempat lain untuk menghadiri program berbeza.

"Yang itu no comment...no comment (tak ada komen) dululah.

"Cukuplah dulu, ambe (saya) kebetulan nak balik (jam) 6.50 (petang), jadi nak pergi dua tiga tempat lagi.

"Lain kali ambe jawab semua soalan," katanya sekali gus mengakhiri sidang media pada majlis perasmian Santuni Komuniti Masyarakat Sejahtera di Masjid as-Salam di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Hadir sama merasmikan program itu Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Ulama PAS, Nik Zawawi Nik Salleh, yang mendakwa kitab Injil dipesongkan atau diubah.

Nik Zawawi yang juga anggota parlimen Pasir Puteh berkata demikian semasa membahaskan rang undang-undang berkaitan hukuman memandu mabuk.

Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudian kenyataan Nik Zawawi itu tidak tepat kerana agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak sehingga memabukkan.

Nik Zawawi bagaimanapun tetap mempertahankan kenyataan itu dan enggan meminta maaf sambil menganggap tiada pihak yang patut tersinggung dengan kata-katanya itu.

Lihat Komen
ADS