Goldman Sachs bebas dari kes terbitan bon 1MDB RM27 bilion
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pendakwaan untuk membatalkan kes terbitan bon berkaitan 1MDB bernilai AS$6.5 bilion (RM27 bilion) terhadap Goldman Sachs dan dua subsidiarinya di Asia.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk melepaskan dan menggugurkan pertuduhan terhadap tiga tertuduh dalam kes itu.
Selain Goldman Sachs International, dua lagi tertuduh adalah Goldman Sachs Asia LLC dan Goldman Sachs (Singapore) PTE.
Terdahulu, kerajaan Malaysia dilaporkan telah menerima AS$2.5 bilion (RM10.4 bilion) daripada jumlah keseluruhan AS$3.9 bilion (RM16.2 bilion) yang dipersetujui dalam penyelesaian dengan Goldman Sachs berhubung perkara itu.
Pada 25 Julai, Goldman Sachs Group Inc akan menyerahkan AS$2.5 bilion (RM10.66 bilion) kepada kerajaan Malaysia bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan urus niaga dengan 1MDB.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata ia sebahagian daripada jumlah penyelesaian AS$3.9 bilion (RM16.63 bilion) untuk menyelesaikan tuntutan berkaitan tiga transaksi bon yang dikendalikan Goldman Sachs untuk 1MDB.
Ketika sebutan kes di depan Zaini pagi ini, DPP Masri Mohd Daud memaklumkan bahawa perkembangan terbaru membawa kepada keputusan untuk menggugurkan kes ke atas Goldman Sachs.
"(Pendakwaan) berhasrat mengugurkan semua pendakwaan dalam kes ini," kata Masri.
Peguam tertuduh, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon mahkamah mengeluarkan arahan pelepasan dan pembebasan terhadap semua defendan berdasarkan Kanun Tatacara Jenayah.
Zaini kemudian mengarahkan tiga tertuduh dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan.
Ketika ditanya pemberita kemudian, sama ada keputusan hari ini berkaitan penyelesaian antara kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs, Masri berkata dia tidak tahu memandangkan pendakwaan bertindak atas arahan peguam negara.
"Saya ke mahkamah atas arahan peguam negara. Saya tak boleh mengulas lanjut," katanya.
Pada 17 Disember 2018, tiga entiti Goldman serta beberapa pihak lagi dihadapkan pertuduhan berkaitan dakwaan kenyataan palsu atau menyeleweng berkenaan penerbitan bon bernilai AS$6.5 bilion daripada subsidiari 1MDB.
Pihak lain yang didakwa termasuk ahli perniagaan Low Taek Jho, bekas penasihat umum 1MDB Jasmine Low, dan bekas kakitangan Goldman Sachs Tim Leisnerr dan Roger Ng.
Ketika prosiding hari ini, Masri memaklumkan bahawa pendakwaan akan meneruskan kes terhadap Ng.

