Gangguan bekalan air kepada sekitar 1.2 juta pengguna di lembah Klang dijangka berterusan selama empat hari lagi susulan pencemaran di loji rawatan air di Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman, loji rawatan air perlu berada pada tahap pencemaran 0 TON sebelum selamat digunakan.

“Setakat ini tahap pencemaran rekod bacaan 1 TON dan tidak selamat untuk diminum.

"Gangguan bekalan air di Lembah Klang hanya akan pulih apabila bacaan tahap pencemaran 0 TON tiga kali berturut-turut,” kata Suhaimi pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya berikutan pencemaran bau dikesan di muka sauk loji berkenaan.

Ini menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, sejak semalam.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata pihaknya memandang serius isu pencemaran tersebut kerana telah menyebabkan loji rawatan air terbabit henti tugas melebihi 30 jam.

"… kita tiada tempoh yang tepat bila gangguan bekalan air ini akan pulih.

"Justeru bantuan bekalan air akan terus diagihkan melalui lori-lori tangki air dan pengguna disarankan mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata sebuah kilang disita dan dikenakan kompaun serta-merta selepas dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Semalam, LRA Rantau Panjang dihenti tugas pada 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Premis perindustrian Sungai Gong yang dipercayai menjadi punca gangguan bekalan air di negeri itu.