Kenyataan Hasni mengenai parti Saddiq disalah petik - Pejabat MB
Kenyataan Menteri Besar Johor, Hasni Mohamad mengenai parti berasaskan golongan muda yang ingin diasaskan anggota parlimen Muar, Syed Saddiq Seyd Abdul Rahman telah disalah petik, kata pejabat menteri besar.
Pejabat itu menafikan bahawa Hasni mengatakan parti berasaskan golongan muda tidak menghormati orang tua, sebaliknya memberikan rakaman audio kepada Malaysiakini mengenai kenyatan yang dibuat di Johor semalam.
Semalam, Bernama melaporkan Hasni sebagai berkata penubuhan parti khusus untuk orang muda memberi gambaran seolah-olah golongan tersebut tidak menghormati “orang lama”.
Bagaimanapun menurut rakaman tersebut, Hasni mengatakan "Kita tidak perlukan parti khusus untuk orang muda kerana sesungguhnya pemuda di Parit Yaani ini menghormati pandangan orang lama, orang lama juga mengasihi orang muda, kerjasama ini akan terus kita jalin dan bela sebagai kekuatan kita".
Bulan lalu, Syed Saddiq mengesahkan tidak akan menyertai parti yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanah Air yang berasaskan kaum Melayu dan Bumiptera.
Sebaliknya Syed Saddiq berkata beliau mahu menubuhkan parti berasaskan golongan muda dan berbilang kaum, seperti Future Forward di Thailand dan En Marche di Perancis.
"Sudah sampai masanya pada hari ini bahawa politik tidak akan dikuasai oleh orang yang sama - dikawal dan dimonopoli oleh orang tua yang sama," katanya dipetik daripada laporan Channel News Asia.

