mk-logo
Berita
Insya-Allah, ada PM dari Umno jika rakyat sokong - Annuar
Diterbitkan:  Sep 6, 2020 5:03 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata Umno memiliki ramai pemimpin berkebolehan untuk menyandang sebarang jawatan termasuk perdana menteri sekiranya mendapat sokongan daripada rakyat.

Bagaimanapun katanya parti Melayu itu bersifat pragmatik dalam bermuafakat dan berkongsi kuasa demi agama, bangsa dan negara.

“Umno mempunyai ramai tokoh yang berkeupayaan tinggi untuk sebarang tugas dan jawatan termasuk jawatan PM.

“Namun Umno juga pragmatik dalam bermuafakat dan berkongsi kuasa, asalkan matlamat perjuangan demi agama, bangsa dan negara dicapai.

“Insya-Allah dengan dukungan (sokongan) rakyat, ada PM Umno nanti,” ciapnya di Twitter hari ini.

Kenyataan Annuar itu bercanggah dengan pandangan bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam, yang mengatakan setakat ini tiada pemimpin daripada kalangan Umno dan PAS yang lebih berwibawa daripada Muhyiddin Yassin bagi menyandang jawatan perdana menteri.

“Selagi kita mendukung kerajaan sedia ada, maka perdana menteri yang kita dukung adalah Muhyiddin Yassin, soal PRU (pilihan raya umum) akan datang itu masih lagi dalam perbincangan.

“Kalau kita tengok daripada segi rakyat (penerimaan) telah diumumkan dapatan daripada badan penyelidikan dan itu adalah hakikat (rakyat mengakui kewibawaan Muhyiddin) ,” kata Khairy seperti dilapor Utusan Malaysia.

Untuk rekod Bersatu menerajui gabungan Perikatan Nasional (PN) yang secara rasmi tidak termasuk Umno. Manakala Umno berada dalam pakatan Muafakat Nasional dengan PAS dan Bersatu.

Ketiga-tiga parti itu komited untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai satu gabungan untuk mengelakkan pertembungan. 

Bagaimanapun bagi pemerhati politik hubungan antara ketiga-tiga parti tersebut adalah rumit dan bakal menghadapi cabaran terutama dalam pengagihan kerusi pada PRU akan datang.

Lihat Komen
ADS