Covid-19: Enam kes baru, dua dari kluster Benteng LD
Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak enam kes Covid-19 baru direkodkan setakat tengah hari ini, dengan tiga daripadanya merupakan penularan di dalam negara.
Daripada tiga kes jangkitan tempatan, dua adalah daripada kluster Benteng LD yang kini dirawat di hospital Tawau di Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua pesakit tersebut mempunyai hubungan persaudaraan, dengan kes kedua dikesan positif semalam.
Tidak jelas apakah ia mempunyai kaitan dengan pengadil bola sepak di Tawau yang didapati positif virus tersebut.
Seramai 776 orang telah disaring dalam dua kluster berkenaan dengan 334 kes sedang menunggu keputusan.
Sementara itu, satu lagi kes penularan tempatan merupakan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dikesan di sebuah pusat perubatan dan kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Dr Noor Hisham berkata, seramai dua pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang telah pulih sepenuhnya daripada penyakit itu adalah sebanyak 9,115 kes.
Pertambahan enam kes terbaru itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 154 kes.
"Sehingga kini, terdapat enam kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes," jelasnya.


