Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan fakta-fakta sejarah tidak boleh diubah, kerana itu beliau bersetuju buku panduan pengajaran subjek Hubungan Etnik yang digunapakai di Universiti Putra Malaysia (UPM) ditarik balik dan digantikan dengan yang baru.

Pengumuman Perdana Menteri itu mengakhiri kontroversi penggunaan buku berkenaan yang dikatakan mengandungi fakta-fakta salah serta bersifat perkauman.

Abdullah berkata isu itu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet dan Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan akan menarik balik pengunaan buku panduan tersebut.

"Pihak kementerian hendak menggantikan buku itu dengan satu buku lain dan pihak Kabinet bersetuju."

"Saya fikir itu tindakan wajar kerana buku yang pertama itu dilihat begitu sekali kontroversi," kata Abdullah pada sidang akhbar pertama beliau sejak kembali ke tanah air Sabtu lepas setelah bercuti dan menjalani pembedahan kecil penyakit resdung di Australia.

Beliau berkata buku panduan yang baru itu akan diteliti oleh sebuah panel terdiri daripada ahli sejarah.

Menurut laporan Bernama, beberapa anggota Parlimen membantah penggunaan modul pengajaran itu dengan mendakwa fakta yang terkandung di dalamnya tidak benar.

Modul pengajaran yang digunakan oleh UPM itu dilaporkan menyentuh isu seperti insiden 13 Mei dan rusuhan di Kampung Medan.

Hubungan Etnik diajar di semua institusi pengajian tinggi awam sebagai kursus wajib pada Sesi 2006/2007.

Abdullah menarik perhatian bahawa pihak terlibat perlu mengambil kira perkara yang boleh menyentuh sensitiviti kaum yang ada di negara ini.

"Saya telah memberikan pandangan iaitu fakta-fakta sejarah tidak boleh diubah tetapi interpretasi sejarah itulah yang penting, bagaimana kita tafsirkan fakta sejarah dan membuat analisis tentang semua itu," katanya.

Perdana Menteri berkata isu kaum dan bangsa masih lagi sensitif kepada rakyat pada waktu ini walaupun negara hampir 50 tahun mencapai kemerdekaan.

"Kita masih dalam peringkat membendung masalah kaum, untuk membawa semua kaum yang ada di Malaysia melihat diri mereka sebagai satu bangsa yang bersatu-padu, yang inginkan pembangunan dan keamanan serta hubungan antara kaum yang sentiasa selesa," katanya.

Abdullah berkata sesuatu kaum itu tidak harus dituduh hanya kerana ada sekumpulan daripada mereka yang melakukan perbuatan yang tidak disenangi.