Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin perlu hadir ke persidangan Dewan Negara pada minggu depan bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung kenyataannya tentang seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin.

Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim membuat ketetapan itu selepas Senator Alan Ling Sie Kiong mengemukakan usul tergempar mengikut Peraturan Mesyuarat Perkara 25 (1) (q) bagi merujuk Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara berikutan tindakannya memberikan jawapan tidak tepat semasa persidangan dewan itu Khamis lepas.

“Setelah menimbang perkara secara jauh dan dekat, secara luas dan spesifik, kita harus bersetuju dahulu supaya beliau perlu datang ke dewan ini dan beri pandangan dan penjelasan dan akhirnya memohon maaf kepada pihak yang berkenaan.

“Jika beliau enggan berbuat demikian, mungkin pada minggu hadapan barulah kita juruskan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu. Begitulah pandangan saya dan berharap ia dapat dirakam sebagai keputusan awalan sebelum penjurusan sebenar de facto dibawa kepada jawatankuasa itu,” katanya.

Terdahulu, Ling memaklumkan kepada persidangan Dewan Negara bahawa beliau telah mengemukakan usul berkenaan pada 7 Sept dan ia memerlukan 14 hari sebelum dimasukkan ke dalam aturan urusan mesyuarat untuk dibahas.

- Bernama