Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Pembudayaan 9S dalam merajut tali perpaduan

Setiap tahun, ulang tahun hari kemerdekaan negara disambut dengan pelbagai pengisian dan tema khusus yang dipilih selari dengan situasi semasa. Keadaan negara pada hari ini sedang melalui dua gelombang tsunami.

Pertama, tsunami kesihatan awam dengan pandemik Covid-19 yang menyerang sejak penghujung tahun 2019. Dan keduanya adalah gelombang tsunami politik dengan peralihan kerajaan daripada gabungan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional di penghujung Februari 2020.

Dalam berhadapan tsunami pandemik Covid-19, masyarakat Malaysia berbilang kaum dilihat bersatu dan bersama dengan petugas barisan hadapan mengamalkan norma baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Malah, tema sambutan kemerdekaan yang dipilih pada tahun ini adalah “Malaysia Prihatin”; yang secara jelas merujuk kepada keterlibatan seluruh warganegara bersama-sama menangkis serangan pandemik, tanpa mengira golongan penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan, mahu pun orang perseorangan.

Kosa 'Prihatin' pula menunjukkan keprihatinan pihak kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif, termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat.

Gelombang tsunami kesihatan awam ini secara tidak langsung telah dan sedang ditangani dengan semangat Nusantara “gotong-royong”, yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan agama dalam pembudayaan norma baharu.

Ironinya, dalam gelombang kedua, bibit perpaduan yang telah dirajut dengan baik semakin menunjukkan jurang.

Ini disebabkan perubahan mendadak lanskap politik negara dan negeri yang telah menimbulkan sisi politik berasaskan kebencian dan dendam.

Tidak dapat dinafikan, “politik katak” telah menimbulkan suasana yang tidak harmoni dan perpecahan dalam masyarakat.

Perpecahan politik sudah semestinya memberi kesan langsung terhadap perpaduan kaum.

Ini kerana parti-parti politik utama di Malaysia masih mempunyai hubungan erat dengan jati diri ras tertentu, walaupun ada parti politik yang menjadikan kemajmukan demografi ahli sebagai teras penubuhan parti.

Atas dasar ini, maka timbullah golongan pelampau kaum yang bersifat etnosentrik dan superior. Mereka menimbulkan mitos bangsa pemalas dan melukut tepi gantang, tindakan pemboikotan, slogan pulang ke tanah nenek moyang, dan sebagainya.

Selari dengan itu juga, isu-isu sensitif sentiasa diputar ulang tanpa rasa tanggungjawab sebagai warganegara yang waras. Masih lagi terdapat kelompok yang bermain dengan isu tulisan jawi, bendera terbalik, menghina sistem beraja, dan seumpamanya.

Diperkotak-katikkan pelampau kaum

Kesannya, keharmonian yang dibina selama ini dikorbankan tanpa rasa bersalah.

Perpaduan yang diusahakan pasca kemerdekaan negara telah diperkotak-katikkan oleh golongan cauvinis dan pelampau kaum.

Keadaan ini memberi kesan yang ketara kepada mereka yang mempunyai hubungan persahabatan dan kejiranan yang baik merentas agama dan kumpulan etnik.

Sikap ini jelas tidak sesuai dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Ia bukan sahaja tidak menambah baik hubungan sesama kaum, bahkan hanya menambahkan rasa tawar hati antara satu sama lain.

Lantas bagaimanakah hala tuju masyarakat berpadu yang ingin dibentuk terutama dalam lanskap negara menjelang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030?

Jelasnya, pentakrifan JS Furnivall (1956) dalam Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Netherlands India tentang konsep masyarakat majmuk masih lagi dapat dilihat jelas hingga kini.

Menurut beliau, mereka (masyarakat) tinggal sebelah menyebelah dan dalam beberapa keadaan, hidup mereka terpisah.

Walaupun kini telah wujud bibit interaksi lebih meluas antara kaum, tetapi masih ada jurang antara satu kaum dengan yang lain. Isu-isu sensitif mudah tercetus apabila melibatkan perkauman dan keagamaan.

Penjarakkan antara kaum dan agama ini perlu ditangani dengan baik agar keharmonian dapat dicapai.

Antara pendekatan yang boleh dimanfaatkan adalah pembudayaan 9S yang dapat menjadi tunjang masyarakat berpadu. 9S ini merangkumi:

S1: Saling kenal-mengenali - Pelajari sejarah budaya, bahasa, agama dan pantang larang pelbagai kaum, hapuskan pelabelan negatif dan stereotaip kaum di samping membina solidariti kemanusiaan.

S2: Saling faham memahami - Mengelak salah faham dan syak wasangka, peka dengan batasan dan sensitiviti kaum dan agama, di samping tidak mencampuri urusan peribadi agama dan kaum lain.

S3: Saling hormat menghormati - Tidak menghina agama dan kaum lain, tidak memaki dan tidak menyakiti, tidak mempersenda dan mempermainkan, di samping tidak berdendam dan bermusuhan.

S4: Saling buat kebaikan - Tidak melakukan kejahatan, tidak mengambil kesempatan, tidak diskriminasi, berbaik sangka dan menjauhi prejudis.

S5: Saling bertoleransi - Menerima dan meraikan perbezaan antara kaum dan agama, tidak mengganggu agama lain, rumah ibadat dan sambutan perayaan agama lain di samping menolak pluralisme agama.

S6: Saling berlaku adil - Menjamin keadilan undang-undang dan ekonomi, tidak pilih kasih, tidak melakukan kezaliman dan tidak menganiayai.

S7: Saling jamin menjamin - Mengambil berat dan prihatin antara satu sama lain, memberi jaminan keselamatan dan sosial, membantu ketika musibah, bencana, kemalangan di samping menjaga ketenteraman awam bersama.

S8: Saling bantu membantu - Melakukan kerjasama dalam perkara kebaikan, tidak berkonspirasi dan berkomplot untuk mengganggu agama dan kaum lain di samping menyuburkan budaya gotong royong.

S9: Saling berdialog dan berbincang - Mencari titik persamaan bukan perbezaan, berbincang untuk mencari solusi bukan konfrontasi di samping menjauhi provokasi serta konflik.

Bagaimanapun, pembudayaan 9S ini memerlukan keterlibatan aktif setiap pihak untuk menjayakannya.

Jurang yang tercipta hasil penjarakan sosiobudaya antara kaum dan agama perlu dirapatkan agar keharmonian kaum dapat direalisasikan.

Bangsa Malaysia yang berpadu seharusnya mampu dibentuk bagi menjana kemakmuran bersama, selagi mana kesedaran mengenai kerugian yang bakal dialami jika meletusnya perpecahan dan konflik sentiasa dijadikan peringatan.


DR MOHD ANUAR RAMLI merupakan pensyarah kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS