Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nuridah: PAS perlu dominan agar tak nampak terpinggir

Penyertaan PAS membentuk kerajaan Persekutuan dan menjadi kerajaan di tiga Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah kemenangan dan perkara yang perlu dikekalkan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Senator Nuridah Mohd Salleh berkata tanggungjawab mengisi dan mengekalkan kemenangan itu bukan hanya digalas pemegang jawatan dalam kerajaan malah perlu dipikul seluruh anggota parti khususnya Dewan Muslimat.

"PAS perlu lebih dominan supaya tidak dilihat seolah-olah terpinggir dengan mengungguli (penyertaan) di peringkat eksekutif seiring legislatif.

"Keterlibatan muslimat secara langsung di peringkat urus tadbir kerajaan tempatan sangat penting dan penambahbaikan yang drastik dan tuntas perlu dirangka serta dijayakan," katanya berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS ke-60 di Kuala Lumpur malam ini.

Nuridah berkata gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah platform terbaik untuk PAS membangunkan negara yang lestari dan makmur.

Katanya berkata agenda perpaduan perlu bermula dari dalam parti dan diikuti perpaduan umat dan perpaduan agenda politik melalui gabungan MN dan PN.

"Perpaduan yang benar-benar jitu tidak boleh digelincirkan dari landasan kerana kepentingan kelompok.

"Perpaduan ini perlukan pengorbanan besar daripada setiap anggota (MN dan PN) dengan semangat setia kawan yang tulen," katanya.

Menyentuh persediaan PAS dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-15, dia menyeru agar calon sayap muslimat ditempatkan di kawasan strategik yang mempunyai majoriti pengundi wanita.

Muktamar berkenaan akan bersidang esok dengan penyertaan seramai 350 perwakilan seluruh negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS