Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Musa Aman sah tidak bertanding
Diterbitkan:  Sep 12, 2020 11:13 AM
Dikemaskini: 8:58 AM

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang juga adalah individu utama di sebalik gerakan cubaan rampasan kuasa kerajaan negeri yang membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon.

Ini termasuk di dewan serbaguna Libaran, yang menjadi pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, iaitu kerusi yang disandangnya sejak 1994.

Sebelum ini terdapat spekulasi awal bahawa dia akan bertanding sebagai calon bebas di N51 Sungai Manila selepas tidak tersenarai bertanding di mana-mana kerusi oleh Umno.

Banyak pihak di pusat penamaan calon, termasuk pengamal media, ternanti-nantikan kehadiran Musa namun kelibatnya tidak kelihatan sehingga tempoh penamaan calon berakhir pada 10 pagi.

Ketibaan setiap kenderaan bercermin gelap mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengamal media dan mereka yang menunggu di pintu masuk pusat penamaan calon itu untuk melihat kalau-kalau Musa berada di dalam kenderaan tersebut namun ketiadaan kelibat beliau ternyata mengundang kekecewaan.

Panggilan telefon serta mesej oleh pihak yang rapat dengannya tidak dijawab, keberadaan beliau juga tidak diketahui malah persoalan sama ada Musa akan bertanding pada PRN  menjadi misteri.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke kediaman beliau di Sandakan, yang terletak bersebelahan dewan serbaguna Libaran, mendapati ia kelihatan kosong dari luar pagar manakala pintu depan berkunci.

Pada 9 September lalu, Musa membuat hantaran di akaun Twitter beliau berbunyi: "Saya akan kembali ke Sungai Manila" yang merupakan kerusi baharu dalam Parlimen Libaran.

Hari ini, Musa memuat naik satu artikel Malaysiakini di Instagramnya yang menyebut bahawa pemimpin Umno Sungai Manila mahu beliau menjadi calon bagi kawasan itu.

Musa adalah penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.

Dia setakat ini masih menjadi ahli Umno walaupun kesetiaannya tidak jelas setelah berlaku perselisihan dengan ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

Spekulasi kononnya Musa akan menyertai adiknya, Anifah Aman yang mengetuai Parti Cinta Sabah (PCS) juga tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, Anifah hari ini menyerahkan borang pencalonan bertanding kerusi DUN Bongawan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan.

PCS dilapor meletakkan 72 calon pada PRN Sabah ke-15 kali ini.

PRN Sabah diadakan selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN Sabah atas permintaan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai.

Ini berlaku sehari selepas Musa mendakwa beliau memiliki sokongan 33 Ahli DUN untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah dan membentuk kerajaan baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-16.

Lihat Komen
ADS