Ketua Menteri, Mohd Shafie Apdal, berdepan pertandingan lima penjuru bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Antara calon yang akan mencabarnya adalah anak buahnya sendiri iaitu, Norazman Utoh Naim (Bersatu) ; Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah),  D Pg Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO).

Ini berbeza sama sekali dengan situasi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi merebut kerusi DUN berkenaan antara Shafie dengan sepupunya Nasir  Sakaran, calon Barisan Nasional (BN).

Senarai calon yang bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Benedict Asmat pada kira-kira 11.10 pagi selepas proses penamaan calon di dewan masyarakat Semporna ditutup.

Shafie yang adalah calon Warisan untuk Senallang, tiba di dewan nasyarakat Semporna, bersama Dr Jaujan Sambakong yang bertanding di kerusi Sulabayan, dan Manis Buka Mohd Darah di kerusi Bugaya pada kira-kira jam 9 pagi tadi.

Selain Senallang yang berada dalam Parlimen Semporna yang juga diwakili Shafie, dua lagi DUN di situ adalah Sulabayan dan Bugaya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Shafie memenangi DUN Senallang dengan majoriti 5,301undi.

Proses penamaan calon hari ini dilaporkan lancar walaupun dalam suasana hujan.

Sementara itu, DUN Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara penyandang Manis Muka Mohd Darah (Warisan Plus) dengan calon USNO, Parti Cinta Sabah (PCS), Perikatan Nasional (PN), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) serta dua calon bebas.

USNO diwakili Ahmad Kenajaan, PCS oleh Jihek Basanu, Taraji Jamdi mewakili PPRS, Mohd Daud Tampokong mewakili PN dan dua calon Bebas iaitu Rasidan Abd Latiff akan menggunakan simbol kunci manakala Abdul Jan Muammil @ Abdul Jim menggunakan simbol ikan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Dr Jaujan Sambakong, yang juga Naib Presiden Parti Warisan, pula berdepan saingan tiga penjuru dengan Alahuddin Mohd Sarah dari USNO dan Abdul Manan Indanan (BN) bagi mempertahan kerusi DUN Sulabayan.

Jumlah pemilih berdaftar di DUN Senallang adalah sebanyak 14,336 orang, DUN Bugaya (20,267) dan DUN Sulabayan (14,012).