Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Kluster baru libatkan Pati di Sabah
Diterbitkan:  Sep 12, 2020 5:32 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Satu kluster baru telah dikenalpasti di kalangan pendatang tanpa izin (Pati) di Kunak, Sabah dirujuk sebagai Kluster Laut, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Sehingga 12 September 2020, sejumlah 49 telah disaring dalam kluster ini. Kesemua saringan ini melibatkan warganegara Filipina.

"Daripada jumlah ini, empat kes dikesan positif Covid-19; 14 individu negatif; dan 31 individu masih menunggu keputusan," kata beliau pada suatu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 58 kes baru Covid-19  yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi.

Daripada 58 kes baru itu, 53 daripadanya melibatkan penularan tempatan.

Daripada jangkitan tempatan itu, 48 kes di Sabah, termasuk 44 dari Kluster Benteng LD dan 3 dari Kluster Laut.

Terdapat juga 5 kes baru dari Kluster Sungai di Kedah.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,868 kes. 

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 551 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan Kluster Benteng LD kini memiliki sejumlah 381 kes positif.

Daripada jumlah ini, 361 ialah tahanan, dua kakitangan penjara, tiga ahli keluarga dan 15 kontak rapat.

Seramai 1,830 orang di Tawau dan 714 di Lahad Datu masih menunggu hasil ujian saringan.

Menjelaskan lanjut mengenai Kluster Laut, pengarah kesihatan berkata ia melibatkan seorang tahanan kes indeks kluster (iaitu kes ke-9859) di Pusat Tahanan Sementara(PTS) Tawau yang telah dihantar balik ke negara asal iaitu Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos 2020.

"Namun demikian, pada 5 September 2020, kes menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga, Filipina melalui jalan tikus untuk melawat isteri kes.

"Isteri kes (iaitu kes ke-9860) pula dikesan positif Covid-19 pada 8 September 2020 semasa saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.

"Beliau didapati mula bergejala pada 6 September 2020. Hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection)dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif Covid-19 telah dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (iaitu kes ke-9861 dan kes ke-9862).

"Sehingga 12 September 2020, sejumlah 49 telah disaring dalam kluster ini," jelas beliau lagi.

[Berita penuh menyusul]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS