Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS kini sudah bersiap sedia menghadapi PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekiranya ia diadakan pada bila-bila masa, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata kepimpinan PAS di setiap peringkat telah mengarahkan jenteranya untuk bersiap siaga, malah parti itu juga dalam perbincangan membahagikan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRU15 itu.

“Jumlah kerusi belum muktamad,” katanya sambil menjelaskan tiada jangkaan tarikh yang tepat bila PRU15, dan tarikhnya hanya akan diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata pada sidang media Muktamar Tahunan PAS ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, secara gambarannya PAS akan bertanding majoriti kerusi di Kelantan dan Terengganu, manakala berharap dapat mendominasi kerusi kerajaan di Kedah pada PRU15 kelak.

Ketika ditanya mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), walaupun masih di peringkat awal, namun menurut Abdul Hadi beliau sangat berpuas hati dengan perikatan antara PAS dan UMNO, namum masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PAS akan menggerakkan jenteranya bagi membantu rakan sekutunya di bawah Perikatan Nasional (PN), dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

PRN Sabah pada 26 Sept ini menyaksikan sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan, termasuk 13 kerusi baharu, dengan pencalonan berlangsung semalam dan pengundian awal pada 22 Sept ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS