Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR cabar Muhyiddin kemukakan bukti pendaftaran PN
Diterbitkan:  Sep 14, 2020 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di 29 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjelaskan mengenai status pendaftaran parti itu.

Ini susulan selepas Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badlishah Syed Osman mendedahkan cariannya tidak menemui sebarang rekod berhubung pendaftaran parti itu di laman sesawang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Sehubungan itu, saya mencabar Muhyiddin Yassin untuk menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran PN yang dikeluarkan secara rasmi oleh ROS kepada umum.

"Seandainya PN masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon-calon yang bertanding di bawah tiket PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PN ditunjangi Bersatu membuat penampilan pertama dalam PRN Sabah selepas pembentukan kerajaan pusat PN Mac lalu.

Logo PN menggunakan warna biru gelap yang mirip kepada warna BN dan tertera perkataan "Perikatan Nasional".

BN mengambil keputusan untuk tidak menyertai PN secara rasmi, namun rakan sekutunya PAS berada dalam gabungan itu.

Dalam pada itu Shamsul berkata, pilihan raya adalah platform penting buat rakyat untuk menggunakan hak mereka sebagai warga negara.

"Mereka berhak untuk memilih calon dari parti yang sah disisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri.

"Sekiranya calon-calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan untuk bertanding, ini merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat khususnya warga Sabah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS