Edict gesa inkues selepas kematian dalam tahanan kedua bulan ini
NGO hak asasi manusia, Eliminating Deaths And Abuse In Custody Together (Edict) menggesa satu inkues dilakukan terhadap kematian dalam tahanan kedua yang berlaku bulan ini.
Menurut Edict, pihaknya dimaklumkan berkenaan kematian seorang tahanan di Penjara Bentong, Pahang semalam.
"Menurut keluarga mangsa, mereka dimaklumkan oleh Jabatan Penjara bahawa kematian mangsa adalah akibat serangan sawan.
"Kami sangat terkilan dengan berita ini memandangkan kes kematian Jestus Kevin pada April lalu di lokap polis Bentung belum pun diadakan inkues, dan hari ini kami dikejutkan dengan satu lagi kes di daerah sama." katanya dalam kenyataan, hari ini.
Edict menegaskan setiap nyawa adalah berharga dan kematian dalam tahanan tidak sepatutnya berlaku.
"Kami menggesa Jabatan Peguam Negara segera mengadakan inkues.
"Polis dan pihak penjara perlu menghormati hak dan kuasa Mahkamah Koroner seperti yang termaktub dalam Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah, di mana setiap kematian di lokap, penjara dan hospital sakit jiwa mesti diserahkan kepada koroner untuk dijalankan siasatan degan segara," katanya lagi.
Sebelum ini, Edict juga melaporkan kematian seorang tahanan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan pada 1 September.
"Edict berharap usaha menjaga kesihatan tahanan dapat diberi perhatian oleh pihak penjara dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga," kata NGO itu.

