Malaysiakini
BERITA

Tak malukah ke Makkah guna rasuah - Peguam Rosmah soal Rizal

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Sep 2020, 9:26 pagi

KES ROSMAH | Datuk Rizal Mansor menafikan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau telah membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan untuk memberi keterangan sebagai saksi utama terhadap bekas majikannya, Datin Seri Rosmah Mansor pada perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri itu berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Bekas pegawai khas Rosmah itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam tertuduh Datuk Jagjit Singh bahawa beliau telah membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan atas pertimbangan bahawa empat pertuduhan terhadapnya akan digugurkan dan beliau akan dibebaskan daripada semua pertuduhan tersebut.

Jagjit: Sudah terang lagi bersuluh bahawa anda telah melakukan konspirasi jenayah dengan pihak pendakwaan serta membuat perjanjian dengan mereka untuk menjadi saksi utama yang memberi keterangan terhadap Datin Seri Rosmah, atas pertimbangan pendakwaan menarik balik keempat-empat pertuduhan yang dikenakan ke atas anda dan anda dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

Rizal: Tidak Yang Arif.

Saksi pendakwaan ke-21 itu memberi keterangan pada perbicaraan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Pada 8 Jan lepas, mahkamah telah melepas dan membebaskan Rizal, 46, daripada empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5.5 juta bagi dirinya sendiri serta Rosmah berhubung projek solar hibrid itu selepas pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadapnya.

Kepada soalan Jagjit mengenai pertuduhan yang dihadapinya sebelum ini, saksi itu yang diletak di bawah program perlindungan saksi berkata wang yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah sumbangan politik.

“Empat pertuduhan terhadap anda ialah meminta dan menerima rasuah untuk diri sendiri dan anda masih mahu mahkamah percaya bahawa ia adalah sumbangan politik,” kata Jagjit dan saksi itu menjawab ya.

Saidi, rakan kongsi biayai Rizal tunai umrah, kata Jagjit

Soalan itu diajukan pihak pembelaan selepas Rizal sebelum ini menafikan semua pertuduhan terhadapnya apabila beliau minta dibicarakan namun telah mengaku meminta dan menerima wang tersebut dalam penyataan saksi.

Saksi itu turut disoal berkaitan gaji dan asetnya oleh Jagjit dan beliau mengaku memiliki beberapa buah kereta mewah seperti Audi, BMW dan Mercedez Benz serta sebuah rumah bernilai RM3.5 juta.

Jagjit: Dengan jawatan gred 48 sebagai pegawai khas, gaji anda kira-kira RM7,000 dan dengan gaji sebanyak itu, anda memiliki Audi, BMW, Mercedes Benz dan sebuah rumah bernilai RM3.5 juta.

Rizal: Setuju.

Jagjit: Semuanya dibeli dengan wang rasuah.

Saksi itu juga mengaku bahawa beliau telah ditaja oleh Saidi dan rakan kongsi perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah ketika beliau ke Makkah untuk menunaikan umrah pada 2016 dan 2017 namun menafikan bahawa beliau telah dibiayai sepenuhnya.

Jagjit: Saya katakan kepada anda, tak malukah kita nak pergi ke Tanah Suci kita guna wang rasuah tajaan orang lain.

Rizal: Tidak.

Jagjit: Anda ke sana menggunakan menggunakan wang rasuah?

Rizal: Itu adalah sumbangan politik.

Jagjit: Berdasarkan pengakuan anda, saya katakan anda adalah orang yang paling tidak jujur, keji dan hina dalam keseluruhan kes ini, anda korup dan anda yang paling teruk.

Rizal: Tidak.

Rosmah, 68, didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Kuala Lumpur; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.