Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Najib luluskan keputusan sebelum mesyuarat lembaga pengarah 1MDB’

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar bahawa Najib Razak, selaku perdana menteri dan menteri kewangan, akan menandatangani resolusi pemegang saham 1MDB sebelum lembaga pengarah syarikat itu sempat bermesyuarat untuk memutuskan suatu perkara.

Tampil memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman berkata, Najib meluluskan keputusan yang dibuat oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, bahkan sebelum keputusan itu dibawa ke lembaga pengarah membuatkan dirinya mempercayai bahawa Low mewakili Najib.

Menjelaskan penguasaan Low ke atas 1MDB, Hazem berkata, bahawa dia akan diberikan butiran perbincangan oleh Low dan dia kemudiannya ditugaskan untuk menyampaikannya kepada lembaga pengarah 1MDB.

"Setelah mendapat arahan, saya akan melaksanakan skop tugas saya sebagai CEO dengan membentangkannya kepada lembaga pengarah.

"Namun, apa yang berlaku adalah resolusi pekeliling para pengarah (DCR) akan disiapkan oleh (peguam 1MDB) Jasmine Loo dan kadang-kadang resolusi pemegang saham juga akan ditunjukkan sebelum saya mengemukakannya kepada lembaga pengarah...

"Kadang kala, Najib malah menandatangani resolusi pemegang saham sebelum lembaga pengarah menandatangani DCR.

"Resolusi pemegang saham akan ditinggalkan tanpa tarikh dan ini akan dipenuhkan setelah lembaga pengarah menandatangani DCR.

"Ini meyakinkan saya untuk meneruskan arahan Low kerana ini menunjukkan bahawa mereka telah mendapat persetujuan awal dari Najib," katanya ketika memberi keterangan, dengan membaca keterangan saksi setebal 110 halamannya.

Secara konvensyen, setelah lembaga pengarah membuat keputusan, mereka akan menandatangani DCR. Ini kemudian diikuti dengan resolusi pemegang saham.

Najib, selaku menteri kewangan, adalah pemegang saham tunggal 1MDB melalui Menteri Kewangan Diperbadankan.

Hazem, yang bertugas sebagai ketua pegawai eksekutif 1MDB, dari bulan Mac 2013 hingga Januari 2015, juga memberitahu bahawa Low telah ‘memasukkan’ orangnya, termasuk Loo di seluruh 1MDB.

Katanya, pihak pengurusan 1MDB perlu menerima arahan dari proksi Low dan ada kalanya, mereka tidak mempunyai akses ke atas dokumen syarikat kerana semua ini dikendalikan oleh Low dan pasukannya.

Hazem berkata bahawa dia bimbang dengan cara kerja 1MDB, terutama berkaitan dengan pengumpulan dana yang diperolehi oleh syarikat di luar negara.

Katanya pengumpulan dana diuruskan oleh pasukan Low dengan pengurusan 1MDB tidak mempunyai banyak kawalan.

Bimbang dengan perkembangan itu, Hazem berkata, dia merujuk kepada pengerusi 1MDB ketika itu, Lodin Wok Kamaruddin untuk menghubungi Najib.

"Pada akhir tahun 2014, saya menggunakan Lodin untuk berjumpa Najib dan memintanya agar dana di luar negara dibawa pulang kerana 1MDB harus membayar balik pinjaman kepada Maybank.

"Namun, ketika Lodin pulang dari pertemuan itu, dia beritahu bahawa Najib tidak membenarkan dana itu dibawa pulang.

"Lodin dan saya sangat tidak berpuas hati dengan jawapan Najib kerana 1MDB tidak mempunyai wang dan semua dana yang dikumpulkan berada di luar negara," katanya.

[Baca berita penuh]

ADS