Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Enam alasan mengapa Jho Low adalah orang kanan Najib - Hazem
Diterbitkan:  Sep 14, 2020 6:33 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

KES 1MDB NAJIB l Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low merupakan orang kanan Datuk Seri Najib Razak dalam mencaturkan hal ehwal urusan syarikat 1MDB yang membawa mandat perdana menteri.

Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, saksi pendakwaan ke-10 menyatakan enam alasan mengapa beliau berpendapat sedemikian.

Pertama, katanya pengenalannya dengan Jho Low adalah melalui Datuk Azlin Alias iaitu Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu jelas menunjukkan bahawa Jho Low merupakan orang yang mempunyai akses kepada pasukan kerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan membawa mandat perdana menteri.

Kedua, katanya akses Jho Low terus dengan Najib yang beliau pernah nampak beberapa kali ketika beliau mempunyai pertemuan dan perbincangan dengan Najib berhubung 1MDB, Jho Low akan turut sama hadir.

“Saya sahkan kehadiran Jho Low bersama Datuk Seri Najib di beberapa tempat luar negara seperti di New York pada tahun 2013 dan di Abu Dhabi sekitar tahun 2013 dan 2014 apabila saya menghadiri majlis menandatangani (perjanjian) atau bermesyuarat dengan pihak pelabur luar,” katanya dalam penyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Ketiga Mohd Hazem berkata dalam beberapa mesyuarat tentang 1MDB dengan Najib di rumah bekas perdana menteri itu, beliau melihat Najib berbincang dengan Jho Low terlebih dahulu barulah Najib akan berjumpa dengannya.

“Setelah itu kami bertiga akan bermesyuarat tentang isu 1MDB yang Jho Low memainkan peranan aktif dalam perbincangan tersebut,” katanya.

Keempat, katanya pertemuannya dengan Jho Low adalah melalui Azlin yang diakui sendiri oleh Azlin bahawa Jho Low mewakili perdana menteri dalam 1MDB.

Kelima, katanya Jho Low telah menyusun orang-orang beliau (proksi) dalam 1MDB antaranya ialah Jasmine Loo dan Terence Geh iaitu untuk melantik pengurusan kanan perlulah diluluskan dan diperkenankan oleh Najib terlebih dahulu.

Sebab terakhir katanya Jho Low juga menyusun ahli lembaga pengarah (BOD) yang dipengerusi oleh Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, supaya kesemua aktiviti dalam 1MDB akan mudah diberi persetujuan oleh pihak BOD.

Mohd Hazem berkata Jho Low juga adalah individu yang akan menyusun, memanipulasikan dan mengatur semua keputusan, usahasama, pelaburan, kewangan dan penjanaan dana di luar negara membabitkan projek 1MDB yang dijadikan alat untuk mendapatkan dana bagi Najib dan Umno.

Beliau berkata ini dinyatakan sendiri oleh Jho Low kepadanya dan Jho Low percaya kepadanya kerana beliau adalah kawan baik Azlin.

“Atas sebab itulah Jho Low selesa untuk bercerita dan mengarahkan saya melalui e-mel dan BBM (pesanan Blackberry) serta perbualan lisan,” katanya.

Beliau berkata Jho Low akan beroperasi dari belakang dan arahan beliau perlulah dipatuhi olehnya dan juga bekas CEO 1MDB sebelumnya Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Azmi Tahir, bekas pegawai kewangan 1MDB.

“Kami tiada pilihan lain dan terpaksa akur kerana ia adalah arahan daripada perdana menteri (Najib) juga iaitu orang yang paling berkuasa untuk membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya tidak akur atau mematuhi arahan ini saya risau ia akan menjejaskan karier pekerjaan saya dan boleh dibuang kerja kerana perdana menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menggugurkan saya daripada syarikat ini.

“Selain itu saya juga risau sekiranya dianggap sebagai melawan arahan perdana menteri yang ia boleh menjejaskan karier pekerjaan saya yang saya mungkin tidak boleh bekerja dalam sektor awam dan sektor korporat,” katanya.

Beliau berkata Jho Low sendiri pernah mengingatkannya bahawa Najib menubuhkan 1MDB adalah untuk menjaga dana Umno dan ini adalah satu daripada cara mendapatkan dana politik melalui syarikat yang diselia oleh perdana menteri sendiri.

“Saya sahkan semasa saya masih lagi bekerja di 1MDB, e-mel yang saya gunakan untuk perbualan ataupun urusan berkaitan syarikat 1MDB ialah [email protected].

"Saya boleh sahkan e-mel yang Jho Low gunakan untuk berkomunikasi dengan saya ialah melalui alamat e-mel [email protected]. Saya boleh sahkan e-mel tersebut adalah e-mel yang digunakan oleh Jho Low kerana arahan dan perbualan yang terlibat adalah sama dan konsisten dalam e-mel tersebut dengan perbualan melalui BBM (pesanan Blackberry) dan juga semasa perbincangan secara terus dengan Jho Low,” katanya.

Menceritakan perjumpaan pertamanya dengan Jho Low, Mohd Hazem berkata pada 15 Julai 2012 beliau telah berjumpa dengan Azlin dan Jho Low di Hotel Shangri La Putrajaya dan Azlin telah memperkenalkan Jho Low sebagai penasihat tidak rasmi kepada Najib yang menubuhkan 1MDB.

Saksi itu berkata dalam pertemuan itu, Jho Low memaklumkan kepadanya bahawa tujuan sebenar 1MDB ditubuhkan adalah untuk membantu Umno melalui perniagaan melibatkan pelaburan strategik 1MDB tetapi beliau tidak menyatakan secara terperinci bagaimana cara beliau akan menggunakan 1MDB untuk membantu Umno.

Katanya Azlin tidak bercakap banyak kerana perjumpaan ini sebenarnya adalah untuk mempertemukanya dengan Jho Low dan beliau (Jho Low) menceritakan sejarah dan latar belakang 1MDB termasuklah bagaimana beliau menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) dan menukar namanya kepada 1MDB.

“Beliau (Jho Low) tidak cerita secara mendalam tetapi secara kasarnya saya boleh menyimpulkan bahawa Jho Low dan Datuk Seri Najib adalah terlibat dalam penubuhan TIA sehinggalah 1MDB,” katanya.

Mohd Hazem berkata Jho Low juga memaklumkan kepadanya bahawa itu merupakan syarikat di bawah kendalian dan kehendak Najib yang sebarang keputusan dan kata putus adalah di bawah kuasa mutlak bekas perdana menteri itu.

“Jadi saya dapat gambaran dalam pertemuan itu bahawa saya perlu mendapatkan sebarang pelepasan daripada Jho Low dahulu jika bekerja di 1MDB. Datuk Azlin pun mengesahkan perkara tersebut. Inilah sebab sebenar pertemuan ini diadakan kerana selepas saya bertugas di 1MDB nanti saya perlu melaporkan sebarang keputusan dan mematuhi kehendak perdana menteri melalui wakil beliau iaitu Jho Low dan Datuk Azlin.

"Datuk Azlin percaya saya kerana saya rakan lama beliau. Pada ketika itu saya telah mula rasa berbelah bahagi untuk bekerja kerana terlampau banyak keputusan melibatkan politik terpaksa saya akur sekiranya saya bekerja di 1MDB.

"Namun saya tiada pilihan lain sebab, perdana menteri iaitu Datuk Seri Najib telah menandatangani dan meluluskan pelantikan saya sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Pengarah Eksekutif (ED) di 1MDB,” katanya dan menambah beliau mula bekerja sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi di 1MDB pada bulan Ogos 2012 selepas selesai menguruskan perpindahan dari syarikat Sime Darby.

Mohd Hazem seterusnya berkata bahawa Jho Low merupakan orang penting yang diletakkan oleh Najib dalam 1MDB sebagai penasihat khas 1MDB melibatkan pelaburan serta penjanaan dana dan perkara ini diberitahu sejak awal lagi semasa pertemuan pertamanya dengan Jho Low bahawa sebarang keputusan jika melalui mereka (Jho Low dan Azlin) adalah merupakan arahan Najib.

“Saya perlu akur kerana Jho Low memaklumkan bahawa semua dana yang diterbitkan melalui pelaburan 1MDB di luar negara adalah untuk kepentingan parti UMNO dan saya tidak boleh mempersoalkan perkara tersebut,” katanya.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama


ADS