mk-logo
Berita
1MDB jaga kepentingan Najib untuk jana dana Umno - Bekas CEO
Diterbitkan:  Sep 14, 2020 8:47 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

KES 1MDB NAJIB | Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah syarikat untuk menjaga kepentingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bagi menjana dana untuk parti Umno.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low semasa beliau berkhidmat di syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-10 itu berkata beliau tidak pernah dijelaskan bagaimana cara Jho Low dan Najib mendapatkan dana itu.

“Saya mahu nyatakan di sini bahawa sejak awal lagi semasa menyertai 1MDB, dan diberitahu oleh Datuk Azlin (Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Najib) bahawa syarikat ini adalah untuk menjaga kepentingan Datuk Seri Najib dan parti Umno, saya memang mencurigai bahawa dana syarikat akan disalahgunakan.

Tetapi pada pendapat saya, dana-dana yang disalahgunakan ini kemudian akan dipulangkan balik kepada syarikat dalam jangka masa yang tertentu.

“Perkara ini ini boleh terjadi apabila ada pelaburan yang dipersetujui oleh ahli lembaga pengarah (BOD) dan pemegang saham, dan kuasa diberikan kepada mana-mana pengurus untuk menguruskan pelaburan ini.

“Yang mana beberapa daripada jumlah wang dana untuk pelaburan akan digunakan untuk membiayai Umno, dan yang selainnya akan dilaburkan dengan harapan ia mendapat pulangan untuk menggantikan wang yang telah digunakan untuk Umno,” katanya dalam penyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Saksi itu juga berkata beliau mula memikirkan kembali peranan-peranan Jho Low, Jasmine Loo, dan Terence Geh (kedua-duanya pegurus kanan 1MDB) yang telah memanipulasikan pengurusan 1MDB pada ketika itu dan beliau yakin mereka ini tahu berkenaan perkara berkenaan dan sebab itulah mereka telah menghilangkan diri.

“Mereka inilah yang sangat aktif menguruskan hal-hal dokumentasi yang diperlukan, seperti yang telah diarahkan oleh Jho Low. Saya tidak menyangka bahawa saya sendiri terlepas pandang ataupun terpedaya dengan perkara ini.

“Ini kerana semua perancangan yang dibuat adalah seolah-olah perancangan yang baik dan betul, tetapi saya memang merasa curiga apabila banyak dana diterbitkan melalui hutang dengan menggunakan alasan untuk membiayai projek. Malahan dana yang dipinjam juga ada yang melebihi daripada keperluan.

“Saya pasti ‘mastermind’ (dalang) untuk rancangan ini ialah Jho Low, kerana saya tahu beliau yang buat semua rancangan perniagaan, tetapi saya tidak pernah tahu bahawa mereka merancang untuk menyalahgunakan kewangan syarikat di luar negara,” katanya.

Mohd Hazem berkata beliau juga tidak pernah diberitahu tentang bagaimana perancangan atau pengurusan dana yang diterbitkan di luar negara akan digunakan ataupun dibelanjakan.

Katanya sepanjang beliau berkerja di 1MDB, beliau selalu diberikan ‘presentasi’ (taklimat) dan penyata dana luar negara terutamanya apabila 1MDB perlu menutup akaun tahunan.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama

ADS