Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Terdapat kenyataan bercanggah mengenai status Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang kini disiasat kerana mengingkari kuarantin wajib selepas beliau pulang dari Turki bulan lalu.

Sumber dalaman kerajaan berkata pemimpin PAS itu kini bercuti sementara menunggu keputusan siasatan kesnya selesai.

Kata sumber terbabit hal itu ada dinyatakan dalam mesyuarat kabinet pada minggu lalu.

"Ya. (Dia) cuti. Sejak minggu lalu. Menunggu siasatan," kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Khairuddin, Muhammad Faudzi Jalil, ketika dihubungi semalam berkata anggota parlimen Kuala Nerus itu masih menjalankan tugas seperti biasa.

"Tidak. Polis belum kata apa-apa. Dia baru saja pulang dari melawat sebuah kilang di Bukit Ibam di Muadzam Shah.

"Dia bekerja seperti biasa," katanya kepada Malaysiakini.

Laman sosial Facebook Khairuddin juga menunjukkan anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu masih menghadiri pelbagai program sepanjang minggu lalu, selain menerima kungjungan hormat deligasi di pejabatnya, di Putrajaya.

Sebelum ini, Khairuddin terpalit kontroversi dan menjadi bahan kecaman apabila gagal melakukan kuarantin wajib Covid-19 selepas pulang dari luar negara.

Pelbagai pihak juga mendakwa berlaku amalan pilih kasih antara orang kenamaan dan rakyat biasa dalam isu berkenaan.

Pada 22 Ogos lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib.

Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19.

Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Susulan tindakan KKM, Mohd Khairuddin memohon maaf dan berikrar untuk menyumbang kesemua gajinya dari Ogos kepada tabung Covid-19.

Bagaimanapun ulama PAS itu enggan meletakkan jawatan seperti yang digesa beberapa pihak kerana beranggapan tiada sebab untuknya berbuat demikian.

Lihat Komen
ADS