Malaysiakini
BERITA

Pemimpin Umno, PAS negeri akan diberi jawatan jika BN, sekutu menang - Zahid

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Sep 2020, 7:55 pagi

PRN SABAH | Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan rancangan untuk membuat lantikan politik kepada pemimpin Umno dan PAS di Sabah sekiranya BN dan sekutu menang dalam pilihan raya negeri.

"Sudah tentu kekecewaan itu saya dapat rasakan. Ada beberapa jawatan lantikan yang akan kita berikan kepada tokoh-tokoh negeri Sabah, jika kita dapat memenangi kerusi-kerusi yang kita tandingi.

"Insya-Allah lantikan itu juga turut memberikan tempat untuk tokoh-tokoh Umno Sabah, termasuk dari parti PAS.

"Kita akan berunding dengan rakan-rakan di dalam Perikatan Nasional (PN) untuk memberi tempat kepada rakan-rakan yang lain di dalam parti gabungan," katanya ketika kempen Radu Kukusan Tanjung Batu semalam, seperti dilapor BH Online.

PAS tidak bertanding di mana-mana DUN dalam PRN kali ini walau sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding di sepuluh kerusi.

BN menyertai PRN kali ini bersama-sama Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) - dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Bagaimanapun BN dan PBS melanggar persetujuan awal apabila meletakkan lebih calon berbanding yang diumumkan, menjadikan pertembungan mereka meningkat daripada 11 kepada 17 kerusi.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga berkata BN akan mengumumkan tawaran baru dalam manifesto yang akan diumumkan hari ini, melibatkan pembangunan, pendidikan dan ekonomi.

Menurut Bernama, dia juga berkata lebih ramai wanita wajar mendapat lantikan jika BN dan sekutunya menang nanti.

"Tentunya saya merasa kecewa (wanita kurang dicalonkan) namun ada beberapa jawatan lantikan boleh diberikan kepada tokoh wanita," katanya, sambil menjelaskan isu lantikan akan dibincang bersama rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.