Pelajar yang perlu ke luar negara bagi menyambung pengajian termasuk mendaftar sebagai pelajar baharu dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu memohon kelulusan Jabatan Imigresen, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun katanya mereka perlu mengemukakan bukti seperti kad pelajar dan surat tawaran.

"Ibu bapa yang nak menghantar dan menemani anak-anak mereka ke luar negara dibenarkan dengan had dua orang sahaja, tidak boleh bawa keluarga macam dahulu," katanya pada sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pelajar dan pengiring yang pulang ke Malaysia pula perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Sementara itu, Ismail Sabri menyeru orang ramai memanfaatkan e-Census yang akan tamat pada 30 Sept ini bagi mengurangkan kadar interaksi banci secara bersemuka yang akan berlangsung mulai 7 Okt depan.

- Bernama