Polis menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai ahli sindiket curi kenderaan mewah dikenali sebagai ‘Geng Lim’ dalam satu serbuan di sebuah rumah di Seksyen 7 di Shah Alam, pada 2 Sept lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Embol berkata ketiga-tiga suspek ditahan hasil risikan pihaknya sejak dua bulan lepas dan dalam serbuan itu, dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux ditemukan dipercayai hasil kegiatan curi geng berkenaan.

Beliau berkata pelbagai peralatan khas untuk mencuri kenderaan turut ditemukan bersama kumpulan terbabit yang disyaki ‘aktif semula’ selepas Perintah Kawalan Pergerakan fasa satu dan dua berakhir.

“Hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek berumur lingkungan 40-an itu mengaku menjalankan kegiatan curi kenderaan mewah terutamanya Toyota Hilux di daerah ini dan kawasan sekitar.

“Berdasarkan peralatan yang dirampas, kita percaya mereka ini memang ‘pakar’ dalam mencuri kenderaan mewah dan disyaki menjalankan kegiatan ini hampir 20 tahun lepas,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Ramsay berkata siasatan lanjut mendapati, modus operandi geng itu ialah mencuri kenderaan mewah berdasarkan ‘permintaan’ semasa dan mereka akan menjualnya semula sama ada kepada pelanggan tempatan atau di luar negara.

Katanya, semakan mendapati, ketiga-tiga suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kes mencuri kenderaan.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sekiranya terdapat saki-baki ‘Geng Lim’ yang masih bebas dan suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan bermotor.

Sementara itu, Ramsay berkata menerusi Operasi Cegah Jenayah Bersepadu Khas peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam yang dijalankan selama dua minggu bermula 1 Sept lepas, seramai 104 individu ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya berkaitan imigresen dan samun.

“Dalam operasi selama dua minggu itu juga, sebanyak 616 tin dan 1,146 botol minuman keras pelbagai jenama serta 2,312 rokok seludup dirampas kerana dipercayai tidak dibayar cukai,” katanya.

- Bernama