Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan media bahasa Tamil, Malaysia Nanban dan tiga yang lain untuk membayar ganti rugi RM550,000 kepada Pengarah Tamil Forum Malaysia (TFM) K Arumugam.
Ia berkaitan kes saman yang difailkan Arumugam pada tahun 2012.
Hakim Roslan Abu Bakar turut mengarahkan Malaysia Nanban dan dua defendan lagi membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Arumugam yang juga bekas pengerusi NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Menurut penghakiman yang dilihat Malaysiakini, mahkamah memerintahkan defendan pertama Malaysia Nanban dan defendan ketiga, bekas wartawannya mendiang S Anbarasu untuk membayar RM250,000.
Manakala defendan keempat S Murali diperintah untuk membayar RM200,000 kepadanya.
Sementara, defendan kedua M Malayandy yang merupakan editor akhbar ketika itu diarahkan membayar ganti rugi teruk sebanyak RM100,000 bersama-sama Malaysia Nanban dan Murali.
Menurut penghakiman lagi, Malaysia Nanban turut diperintahkan menyiarkan permohonan maaf kepadanya di semua akhbar bahasa Tamil dan portal berita yang relevan.
Pada 2012, Arumugam memfailkan saman terhadap pihak-pihak terbabit susulan enam artikel yang diterbitkan akhbar itu, yang antara lain mendakwanya menyalahgunakan dana RM3.2 juta yang diterima TFM daripada kerajaan.
Pengarah Urusan Malaysia Nanban Shafie Zaman berkata bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.
"Kami akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan," katanya secara ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.
