Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menang dulu baru bincang siapa jadi ketua menteri, kata Ismail

PRN SABAH | Setiap parti berhak menamakan siapa saja sebagai calon ketua menteri tetapi akhirnya ia tertakluk kepada rakan seperjuangan yang lain, kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Ismail juga berkata, apa yang penting pada masa ini adalah untuk mengalahkan Warisan dalam pilihan raya yang akan berlangsung 26 September ini.

“Setakat hari ini perkara penting adalah menang dulu dan semua kena fokus untuk memenangkan parti yang menentang Warisan di Sabah.

“Kalau timbul isu lagi di peringkat awal kita berpecah sikit dan boleh kalah.

"Kita bersama tumbangkan Warisan dan selepas itu baru bincang dan tentukan ketua menteri. Kalau kalah nak bincang apa," soalnya yang menasihatkan agar tiada pihak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perpecahan Gerakan Rakyat Sabah - yang dianggotai BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ismail berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Santai Petang Menteri Pertahanan bersama Penggiat Seni Tanah Air sempena Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Kuala Lumpur hari ini.

Hari ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali menyifatkan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Nor, yang bertanding di DUN Sulaman, layak menjadi ketua menteri.

Azmin yang juga Ketua Penerangan PN menyifatkan Hajiji sebagai memiliki keperibadian dan watak yang melayakkannya mengetuai pentadbiran Sabah.

Azmin mengulangi cadangan Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin ketika hari penamaan calon Sabtu lalu yang membayangkan Hajiji akan dilantik ke jawatan itu jika parti-parti sekutu bersetuju.

Sementara itu, Ismail yang juga Menteri Pertahanan berharap penggiat seni tanah air mempromosikan Kempen Tabung Pahlawan 2020 di media sosial supaya kementerian itu dapat mencapai sasaran kutipan RM10 juta.

Katanya, golongan tersebut mempunyai pengaruh kuat kerana memiliki ramai peminat dan maka pasti dapat membantu kempen itu yang berlangsung hingga akhir tahun ini.

"Tahun lalu kita sasar RM8 juta tapi dapat kumpul RM10 juta. Tahun ini memang puas kami fikirkan program yang dapat membantu menjana kutipan disebabkan terdapat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

"Jika dulu banyak aktiviti seperti program larian dan badminton amal boleh dilakukan.

"Jadi untuk tahun ni kita menumpukan promosi kempen bersama kalangan penggiat seni dan pempengaruh (influencer) menerusi media sosial," katanya.

Lihat Komen
ADS