Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hampir 5,000 mohon bantuan pulang mengundi di Sabah
Diterbitkan:  Sep 16, 2020 10:03 AM
Dikemaskini: 2:03 AM

PRN SABAH | Kempen #PulangMengundiSabah telah menarik minat hampir 5,000 pengundi dari negeri itu khususnya belia yang tinggal di Semenanjung untuk pulang mengundi dalam pilihan raya negeri.

Penyelaras kempen, Aaron Denison berkata, sejak kempen itu dilancarkan Ogos lalu, mereka menerima jumlah yang besar meskipun hanya menyasarkan untuk membawa pulang 500 belia.

“Sejak kita lancarkan Ogos lalu, kita telah terima 5,000 permohonan dan belum tapiskan mereka lagi.

“Permohonan dalam kalangan mahasiswa paling ramai iaitu 3,500, walaupun sasaran kita 500 sahaja tapi kalau dapat bawa lebih ramai lebih bagus.

“Kita fokus kepada anak muda sebab kami pun golongan belia dan mereka ini lebih ramai tergolong dalam kategori gaji di bawah RM3,000,” katanya seperti dipetik portal The Malaysian Insight.

Jelasnya, inisiatif itu juga tidak berpihak kepada mana-mana parti sebaliknya hanya mahu memeriahkan suasana demokrasi di Sabah.

Kempen yang digerakkan oleh sekumpulan sukarelawan dan dipelopori anak muda itu bertujuan untuk membantu khususnya belia yang tinggal di Semenanjung bagi pulang mengundi pada 26 September ini.

Tambahnya, bantuan dihulurkan kepada mereka yang berdaftar sebagai pengundi, berusia 21 hingga 35 tahun, dan berpendapatan bawah RM3,000.

Ini selepas pihaknya menerima aduan daripada belia tentang masalah yang mereka hadapi.

“Kami hanya berkempen di Facebook dan Twitter. Kami terima banyak aduan daripada belia tentang masalah yang mereka hadapi untuk pulang mengundi.

“Ada anak muda yang tidak bekerja kerana krisis wabak Covid 19, ada mahasiswa tidak cukup wang kerana harga tiket mahal, ” katanya.

Denison sebelum ini juga pernah terlibat dalam usaha sama semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Sementara itu, Denison juga mengharapkan sumbangan wang ringgit bagi menjayakan kempen tersebut.

Katanya, setakat ini mereka telah menerima bantuan sejumlah RM20,000 dan menyasarkan sehingga RM100,000.

“Harga tiket lingkungan RM350-RM400. Jika kami berjaya bawa 500 orang sekurang-kurangnya, kami perlukan dalam RM170,000.

“Setakat ini bantuan yang kita terima RM20,000.

“Kita masih ada lagi seminggu, kalau dapat RM100,000 pun saya rasa sudah cukup,” jelasnya.

Pilihan raya negeri Sabah diadakan selepas ada usaha oleh bekas ketua menteri Musa Aman untuk mengambil alih pentadbiran apabila mendakwa memiliki sokongan 33 daripada 65 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Komplot itu menyebabkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal memohon perkenan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan Dun dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

Lihat Komen
ADS