Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Merenung angka-angka membimbangkan pada Hari Malaysia

ULASAN | Sidang bagi penggal ketiga Dewan Undangan Negeri Johor ke-14 baru saja berakhir pada 13 Sept lalu. Dalam sidang tersebut, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad ada menyebut beberapa angka yang amat membimbangkan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut pada kadar 17.1 peratus bagi suku kedua 2020. Penyusutan itu merupakan angka terendah sejak negara berhadapan krisis kewangan Asia pada 1998.

Trend pengambilan pekerja pula menyaksikan hanya 9.1 peratus majikan dipercayai bercadang menambah bilangan tenaga kerja mereka. Sejumlah 16.2 peratus pula menyatakan hasrat mengambil langkah pengurangan termasuklah syarikat-syarikat besar yang sebelum ini dilihat stabil.

Keadaan di Johor juga tidak mudah. Dalam fasa pandemik Covid-19, pertumbuhan ekonomi negeri bergerak amat perlahan khususnya sektor pelancongan dan perkhidmatan. Ia memberi kesan langsung terhadap survival ekonomi rakyat Johor.

Kadar pengangguran Johor dianggarkan berjumlah lebih 173,000 orang. Angka ini akan membengkak lagi dari tahun ke tahun.

Ahli-ahli ekonomi Singapura meramalkan antara 45,000 hingga 200,000 orang akan berhadapan pemberhentian kerja di republik itu apabila komuniti perniagaan mereka mengecilkan operasi.

Keadaan ini memberi isyarat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura khususnya dari Johor, berkemungkinan besar mereka akan diberhentikan terlebih dahulu.

Untuk rekod, sekitar 400,000 warga kita berada di Singapura untuk berkerja di sana. Dari jumlah tersebut, sekitar 300,000 orang berulang-alik secara harian di antara Johor Bahru - Singapura.

Kerajaan pusat menyalurkan bantuan kepada rakyat. Contohnya moratorium, bantuan one off Covid-19. Perdana menteri pula mengumumkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan dinaikkan ke RM1,000 sebulan untuk bagi penerima yg layak.

Pertimbangan dua negara

Inisitif Johor juga dizahir dan dilaksanakan menerusi pakej bantuan kewangan untuk rakyat menerusi inisiatif Ihsan Johor.

Namun ia bukan penyelesaian jangka panjang. Ekonomi rakyat khususnya dari aspek pekerjaan masih belum benar-benar selamat. Kerajaan tidak boleh mengelak daripada membincangkan penyelesaian terhadap masalah ini.

Apatah lagi apabila Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri menyatakan wabak Covid-19 tidak mungkin pulih sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun.

Sekurang-kurangnya untuk tempoh satu tahun mendatang, kerajaan perlu mengambil langkah lebih berani demi kelangsungan ekonomi rakyat.

Sebagai contoh, bagi rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura, perbincangan secara dua hala di antara Malaysia dan Singapura boleh membuat pertimbangan terhadap penggunaan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) warga Malaysia yang berkerja di sana untuk dikeluarkan mengikut kadar bersesuaian.

Misalnya untuk tempoh satu tahun ke hadapan.

Dengan ini, kemampuan ekonomi rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura sekurang-kurangnya dapat bertahan untuk 2021 ketika mereka berhadapan pandemik Covid-19 ini.

Kerajaan negeri boleh menilai semula cukai-cukai di bawah kuasanya seperti cukai tanah dan cukai pintu agar hasilnya dapat dimanfaatkan secara lebih berfokus, cermat dan amanah.

Ini penting bagi memberikan kelegaan kepada rakyat Johor apabila berhadapan situasi ekonomi yang sukar ini.

Selain itu juga, syarikat-syarikat besar berkaitan kerajaan kegeri - contohnya Johor Corporation (JCorp) - yang boleh meletakkan fokus dan keutamaan mereka ke arah membantu rakyat dengan lebih meluas.

Barangkali, tidak banyak yang dapat difikirkan. Namun pakej-pakej latihan untuk para graduan mahupun anak muda dengan kemahiran bersesuaian boleh diperluaskan bagi memberikan peluang lebih besar kepada mereka memanfaatkan masa, sekurang-kurangnya setahun ke hadapan dengan menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Sambil itu kita bolehlah mengharapkan keadaan menjadi normal semula.

Kenal pasti kekosongan bersesuaian

Pada masa sama, lebih banyak pusat sehenti boleh diwujudkan oleh kerajaan negeri dan agensi yang bersesuaian. Misalnya Perbadanan Usahawan Johor Bhd (PUJB) atau Unit Strategik Modal Insan (SMI) untuk membantu gerak kerja suai padan bagi rakyat yang kehilangan kerja.

Pusat sehenti ini boleh berfungsi untuk sekurang-kurangnya tiga perkara. Pertama, mengalu-alukan kehadiran rakyat Johor sebagai pelanggan, dan menawarkan khidmat kaunseling atau motivasi bagi mereka yang kehilangan kerja. Hal ini penting kerana rakyat sedang berhadapan norma baru dan keadaan ekonomi sendiri cukup menekan untuk bertahan dan menempuh hari-hari mendatang.

Kedua, pusat sehenti ini boleh bertindak menjadi pusat pangkalan data untuk mendapatkan input serta mengenal pasti kebolehan yang dimiliki klien yang kehilangan kerja, selain mengumpulkan agensi, syarikat mahupun entiti perniagaan yang boleh memanfaatkan kebolehan klien tersebut.

Ketiga, memadankan klien dengan agensi, syarikat mahupun entiti perniagaan agar boleh diambil berkerja bersesuaian dengan keperluan semasa. Hal ini memandangkan terdapat ramai rakyat yang telah atau bakal berhadapan situasi kehilangan pekerjaan.

Mereka memerlukan khidmat bantuan untuk mengenal pasti kekosongan kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki. Tinggal lagi, mungkin maklumat terkini saja yang kurang mereka miliki. Justeru kerajaan boleh mainkan peranan menerusi pusat sehenti tersebut.

Saya percaya, meskipun banyak sektor terkesan akibat Covid-19, namun di sana masih wujud peluang-peluang pekerjaan yang mampu bertahan.

Sebagai contoh, pada masa kerajaan menguatkuasakan larangan untuk sebarang aktiviti perlancongan ke luar negara, aktiviti perlancongan dalam negara atau Cuti-cuti Malaysia mempunyai kelebihan.

Ia boleh dikembangkan lagi. Justeru, peluang pekerjaan bagi sektor pelancongan atau apa saja perkhidmatan yang terkait dengannya ada potensi untuk menjadi lubuk rezeki rakyat.

Hari ini merupakan sambutan Hari Malaysia. Kita menyambutnya dengan penuh bermakna walaupun ketika berada dalam cengkaman ekonomi yang menekan akibat Covid-19.

Bukan sahaja Malaysia, bahkan dunia sedang berhadapan situasi ini.

Dengan apa cara sekali pun, rakyat dan negara kita harus bertahan. Meskipun pandemik Covid-19 memberikan impak yang tidak kepalang kepada Malaysia dan komuniti global, sekurang-kurangnya ekonomi domestik kita harus terus bergerak demi kelangsungan rakyat dan negara.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Adun Paloh merangkap ketua Pemuda DAP Johor dan Setiausaha Publisiti DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS