Malaysiakini
BERITA

Kerajaan akan bantu keluarga 'Mowgli Malaysia'

Bernama

Diterbitkan

Kerajaan akan membantu keluarga Muhammad Syukur Khamis yang kematian 50 ekor kerbau peliharaan mereka mengikut kesesuaian dan keperluan semasa, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim.

Katanya kematian haiwan itu yang dipercayai akibat penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia adalah satu perkara yang sangat serius dan perlu diberi perhatian segera bagi mengelakkan jangkitan ke kawasan ternakan yang lain.

"Keutamaan sekarang ialah memastikan kerbau ternakan keluarga ini tidak keluar dari kandang dan tidak bercampur dengan haiwan peliharaan penternak lain," katanya kepada pemberita ketika meninjau kandang kerbau milik keluarga remaja yang terkenal dengan gelaran 'Mowgli Malaysia' itu di Kampung Kubang Bujuk di Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga tersebut.

Dalam pada itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64 berterima kasih kepada dua pemimpin tersebut yang meluangkan masa melihat sendiri situasi terbaharu di kandang miliknya tersebut.

"Kami sekeluarga berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih ada … terima kasih kepada semua yang mendoakan dan prihatin dengan kami," katanya yang mengusahakan penternakan kerbau sejak 50 tahun lepas.

Muhammad Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 ekor kerbau peliharaan keluarganya tular, selain gambar tersebut turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.