Malaysiakini
BERITA

PRN: Pilih parti intim, rapat dengan Putrajaya - Muhyiddin

Hariz Mohd

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Sep 2020, 9:17 pagi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa pengundi Sabah supaya tetap berpegang kepada parti yang menguasai kerajaan persekutuan hari ini.

Beliau berkata Sabah merupakan negeri yang miskin, maka rakyatnya memerlukan pentadbiran yang mempunyai hubungan rapat dengan Putrajaya untuk menyelesaikan masalah kewangan dan ekonomi mereka.

"Covid-19 belum berakhir, bukan itu saja. Kesan daripada masalah itu ialah keruntuhan ekonomi negara kita. Luar biasa.

"Antara negeri yang paling teruk hadapi masalah ini negeri Sabah. walaupun Sabah sebelum ini antara yang miskin. Keadaan Covid-19 membawa lebih banyak rakyat jelata berhadapan dengan kemiskinan.

"Sebab tu saya nak nyatakan sini, bukan saja membentuk kerajaan negeri boleh menyelesaikan masalah semua. Tetapi perlukan dokongan dan kerjasama rapat dan intim antara kerajaan negeri dan persekutuan itu menjadi satu perkara yang tidak boleh dielakkan.

"Sebab itu kalau di persekutuan sudah ada kerajaan Perikatan Nasional, gabungan semua parti-parti ada di sini, sewajarnya di Sabah ini kita bentuk kerajaan PN ka, gabungan parti-parti rakyat Sabah ka, tak apa lah," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran manifesto GRS hari ini.

Majlis itu diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu dan dihadiri para pemimpin PN, BN dan PBS serta rakan sekutu mereka di Sabah.

Muhyiddin dalam ucapannya juga membidas kerajaan negeri Warisan di bawah kepimpinan ketua menteri Mohd Shafie Apdal.

"Komitmen kita bukan biasa, ini sebuah komitmen luar biasa daripada kita bagi membantu rakyat menghadapi situasi sukar yang tidak pernah dihadapi (rakyat).

"Bila semua parti ini mendukung perjuangan sama, percayalah kepada kami yang akan membentuk sebuah kerajaan yang prihatin buat rakyat Sabah.

"Kami bukan kerajaan lalu, janji tidak ditunai, kerajaan kawan saya (kerajaan negeri Sabah) bantuan Covid-19 sampai hari ini tidak sampai," katanya.

Menjelaskan lanjut, Muhyiddin berkata manifesto gabungannya itu, suatu "tawaran baru jauh lebih baik daripada Warisan untuk rakyat Sabah." 

[Baca berita asal]

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.