mk-logo
Berita
Papagomo, Parpukari antara laskar siber ‘jaga’ Rosmah - Saksi
Diterbitkan:  Sep 17, 2020 3:47 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu blogger ‘Papagomo,’ ‘Parpukari’ dan ‘The Unspinners’ adalah antara 40 lasykar siber yang diupah oleh Rosmah Mansor untuk menonjolkan imej serta reputasi baik beliau di platform media sosial.

Bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor, 46, berkata ketiga-tiga blogger menerima bayaran RM5,000 sebulan daripada peruntukan sebanyak RM100,000 selama hampir enam tahun bermula 2012.

“Mereka adalah antara tiga atau empat ketua pasukan lasykar siber. Terdapat juga 12 hingga 15 blogger yang dibayar sekitar RM3,000 dan kira-kira 30 ‘Facebookers’ yang kesemuanya dibayar sekitar RM2,000 sepanjang tempoh enam tahun itu,” katanya semasa disoal balas peguam Jagjit Singh.

Saksi pendakwaan ke-21 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rizal sebelum ini memberi keterangan bahawa pada 2012, atas arahan Rosmah, beliau telah mewujudkan pasukan lasykar siber itu bagi memantau kandungan media sosial dan menangkis serta memberi penjelasan kepada setiap fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

Saksi itu, yang bekerja dengan Rosmah antara 1 Mei 2009 dan Mei 2018 di bawah Bahagian FLOM (Wanita Pertama Malaysia) yang kemudian dinamakan semula sebagai Bahagian Khas, berkata pasukan lasykar siber beroperasi dengan dana RM100,000 yang diberikan Rosmah kepadanya dalam bentuk tunai setiap bulan bagi membiayai pasukan tersebut.

Jagjit berkata bajet bulanan sebanyak RM100,000 itu adalah dari Pejabat Perdana Menteri yang diberikan secara terus kepada F.L.O.M dan bukannya daripada Rosmah, yang tidak dipersetujui Rizal.

Rizal: Sumber saya tidak tahu tetapi saya ambil (wang) dari tangan beliau (Rosmah).

Jagjit: Wang itu bukan berasal secara peribadi daripada akaun bank beliau (Rosmah).

Rizal: Saya tidak dapat sahkan.

Jagjit juga berkata Rizal tidak mengeluarkan sebarang resit sebagai bukti pembayaran kepada lasykar siber dan saksi utama pendakwaan itu bersetuju.

Peguam itu mencadangkan bahawa resit tidak dikeluarkan kerana Rizal telah bertindak mengambil sebahagian besar daripada wang tersebut untuk dirinya sendiri, yang tidak dipersetujui saksi tersebut.

Jagjit: Terdapat lasykar siber yang mendakwa anda tidak membuat pembayaran kepada mereka, anda telah mengambil sebahagian besar daripada peruntukan itu setiap bulan untuk kegunaan sendiri.

Rizal: Saya tidak setuju.

Jagjit: Saya katakan kepada anda, pasukan lasykar siber itu tidak perlu diwujudkan jika anda menjalankan tugas anda dengan baik.

Rizal: Ia adalah subjektif.

Jagjit: Saya katakan kepada anda, anda gagal melaksanakan tugas anda kerana anda meminta wang rasuah untuk kegunaan peribadi bagi menampung gaya hidup mewah anda.

Rizal: Saya tidak setuju.

Rosmah, 68, didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Fotovoltaik serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Kuala Lumpur; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS