Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DBKL akan roboh semua unit Rumah Panjang Jalan Ikan Emas

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk merobohkan kesemua lapan unit Rumah Panjang Jalan Ikan Emas, Cheras di Kuala Lumpur, untuk dijadikan kawasan lapang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata ini kerana pihaknya tidak bercadang membaik pulih empat unit rumah itu yang terjejas teruk akibat kebakaran awal pagi tadi.

"Insya-Allah, kita cadang robohkannya dan minta semua penduduk berpindah, kemudian kita akan ratakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi dan mangsa kebakaran berkenaan hari ini.

Nor Hisham berkata semua penduduk di rumah panjang berkenaan akan ditawarkan unit di Perumahan Awam atau Program Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan.

Dalam kejadian awal pagi tadi, empat unit rumah panjang itu yang didiami empat keluarga dengan keseluruhan isi rumah 20 orang musnah dalam kebakaran.

Terdahulu, Nor Hisham meluangkan masa selama 30 minit meninjau lokasi dan mangsa kebakaran yang kini ditempatkan sementara di Dewan Komuniti Perumahan Awam Seri Pulau Pinang DBKL sebelum berpindah ke petempatan baharu di PA dan PPR setelah segala urusan selesai.

Setiap keluarga yang terjejas kebakaran menerima bantuan berjumlah RM500 masing-masing daripada DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan selain barangan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5 Bandar Tun Razak Sanah Manap menyambut baik cadangan DBKL demi keselamatan penduduk dan akan mengadakan mesyuarat bersama persatuan penduduk bagi membincangkan masalah berkenaan.

"Biasanya, apa sahaja yang baik, kita akan ikut. Lagipun usia rumah panjang ini sudah terlalu lama, lebih 30 tahun dan memang sangat berisiko untuk kejadian sama berulang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata satu pasukan digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.59 pagi.

Kebakaran yang memusnahkan keseluruhan empat unit rumah panjang tersebut berjaya dikawal selepas 20 minit operasi pemadaman dijalankan, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS