Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakitangan ibu pejabat JKR positif Covid-19
Diterbitkan:  Sep 17, 2020 7:33 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di ibu pejabat JKR di Jalan Sultan Salahuddin di Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19, semalam.

JKR dalam kenyataan hari ini berkata individu terbabit dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian swab secara rawak di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak Isnin lepas (14 Sept).

Menurut jabatan itu, petugas terbabit pergi ke Kuching untuk menghadiri satu mesyuarat di JKR Sarawak dan menginap di sebuah hotel.

“Dalam perjalanan pulang, pihak Hospital Kuching telah menghubungi beliau dan memaklumkan beliau positif Covid19.

“Beliau telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam,” demikian menurut kenyataan itu.

Susulan kes itu, JKR telah mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan mereka akan menjalani saringan kesihatan serta kuarantin di rumah .

Selain itu, JKR juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran.

Sementara itu, akhbar China Press, melaporkan seorang jurugambar dari Jabatan Penerangan Kedah juga disahkan positif Covid-19.

Laporan itu menyebut bahawa jurugambar berkenaan disyaki dijangkiti virus itu dari pegawai atasannya, manakala isterinya adalah kakitangan Pusat Perubatan Kedah.

Menurut laporan itu, majlis terakhir yang dihadir oleh jurugambar itu adalah pada 14 September, yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor dan beberapa exco lain.

Menurut akhbar itu lagi, Sanusi telah membatalkan sidang medianya yang dijadualkan hari ini setelah dinasihatkan oleh pihak berkuasa. Jabatan Kesihatan Kedah juga menasihatkan pengamal media yang membuat liputan majlis tersebut supaya tampil dan menjalani ujian.

Lihat Komen
ADS