Mayat dalam beg hitam ditemui dalam kereta terbakar
Satu mayat ditemukan dalam sebuah beg hitam dalam kereta jenis Honda Civic Ferio yang terbakar di hadapan sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Ringan Kuala Ina, Pulau Sebang, Melaka hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata mayat tanpa identiti itu dijumpai pihak Bomba dan Penyelamat dari balai Tampin di bahagian tempat duduk penumpang belakang kereta tersebut.
Kataya ia ditemui selepas bomba berjaya memadam kebakaran kereta itu, kira-kira jam pada 7.25 pagi tadi.
"Beg berisi mayat itu ditemui anggota bomba selepas membuat pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit sebelum melaporkan pada pihak polis," katanya dalam kenyataan di Alor Gajah hari ini.
Mohd Nor Yhazid berkata kereta itu dilaporkan rosak di Hentian Rawat dan Rehat Jejantas Ayer Keroh kira-kira 4 petang, semalam sebelum pemilik bengkel itu dan pekerjanya dipanggil seorang suspek lelaki yang juga pemandu kereta itu untuk menundanya ke bengkel.
Katanya, kenderaan itu kemudian, diletakkan di hadapan bengkel berkenaan dan kerja pembaikan belum sempat dilakukan kerana suspek tidak membayar kos menarik kereta.
Mohd Nor Yhazid berkata siasatan awal mendapati pekerja bengkel berkenaan menyedari adanya beg hitam di dalam kenderaan itu namun tidak mengesyaki apar-apa.
Mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti motif kejadian dan identiti mangsa.
- Bernama

